MB seru industri lebih aktif bentuk kurikulum TVET

17 Okt 2026, 9:53 AM
MB seru industri lebih aktif bentuk kurikulum TVET
MB seru industri lebih aktif bentuk kurikulum TVET
MB seru industri lebih aktif bentuk kurikulum TVET

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Kerajaan Negeri menyeru penglibatan lebih aktif daripada pemain industri dalam pembangunan kurikulum Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan graduan yang dihasilkan memenuhi keperluan sebenar pasaran kerja.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, kerjasama strategik antara industri dan institusi latihan perlu diperkukuh, terutamanya dari segi penyediaan latihan praktikal, penggunaan peralatan moden, serta pendedahan secara terus di alam pekerjaan.

"Kerjasama antara pihak industri dengan institusi latihan perlu diperkukuh bagi memastikan program yang ditawarkan benar-benar memenuhi keperluan sebenar industri.

"Ini termasuk penglibatan lebih menyeluruh dalam pembangunan kurikulum, akses kepada peralatan moden, latihan praktikal serta peluang mendapatkan pendedahan secara langsung di tempat kerja," katanya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika hadir melawat ke tapak pameran di Selangor Techsphere Summit sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 17 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Selangor Techsphere Summit (STS) 2026 sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Amirudin menjelaskan bahawa Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) memegang peranan penting untuk merapatkan jurang antara institusi latihan bakat dengan industri.

"Golongan muda kita bukan sahaja perlu dilengkapi kelayakan akademik, malah mesti mempunyai kemahiran praktikal, keupayaan menyesuaikan diri serta kebolehan bekerja dengan teknologi baharu yang sedang berkembang.

"Oleh itu, TVET memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi pembangunan industri Selangor," ujarnya.

Tambahnya lagi, pembangunan modal insan menjadi fokus utama Kerajaan Negeri memandangkan Selangor tidak mempunyai kebergantungan kepada sumber asli seperti petroleum, gas, atau unsur nadir bumi (REE).

"Sekiranya Selangor mahu menarik pelaburan bernilai lebih tinggi, sama ada dari dalam atau luar negara, kita perlu bersedia dengan tenaga kerja berkemahiran yang diperlukan bagi menyokong kemasukan pelaburan tersebut.

"Tanggungjawab kita adalah memastikan transformasi teknologi diterjemahkan kepada nilai ekonomi yang sebenar melalui perniagaan yang lebih kukuh, industri yang lebih produktif, peluang pekerjaan yang lebih baik serta tenaga kerja yang dilengkapi kemahiran bersesuaian," katanya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis penutup Selangor Techsphere Summit sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 17 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, Amirudin menambah bahawa Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang berlangsung dari tahun ini hingga 2030 turut memberi penekanan khusus kepada pembangunan kemahiran, pemanfaatan teknologi baharu, serta budaya pembelajaran sepanjang hayat.

Langkah ini selari dengan aspirasi untuk menjadikan Selangor sebagai negeri contoh di rantau ASEAN menerusi pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan berdaya saing.

Untuk rekod, pembangunan TVET dijadikan antara fokus utama RS-2 di bawah Misi 4: Modal Insan Produktif dan Inklusif bagi memperkasakan keupayaan tenaga kerja tempatan.

Antara inisiatif utama yang digariskan termasuk penubuhan Majlis Kemahiran Pekerjaan Selangor (MKPS) pada 2027 bagi menyelaraskan latihan kemahiran mengikut tuntutan industri, sekali gus mengatasi isu ketidakpadanan kemahiran (skill mismatch).

Selain memperkukuh peranan STDC, Kerajaan Negeri turut merancang menubuhkan TVET Corporation bagi mengelakkan pertindihan program latihan kemahiran di negeri ini.

Kesemua inisiatif ini berteraskan pendekatan Revolusi Industri 5.0 yang mengimbangi penguasaan teknologi tinggi dan nilai kemanusiaan, di samping menyokong sasaran pendapatan isi rumah median RM14,500 serta kadar pengangguran rendah pada paras 2.2 peratus di Selangor.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.