Dulu berteduh di mana sempat, kini 'rider' ada TEDUH

3 Sep 2026, 1:00 PM
Dulu berteduh di mana sempat, kini 'rider' ada TEDUH
Dulu berteduh di mana sempat, kini 'rider' ada TEDUH
Dulu berteduh di mana sempat, kini 'rider' ada TEDUH

PETALING JAYA, 3 SEPT: Berteduh di mana sahaja yang sempat daripada terik matahari dan hujan, selain menumpang di masjid atau kedai makan, antara realiti penghantar p-hailing ketika menunggu pesanan seterusnya.

Namun, kewujudan Pusat TEDUH (Tempat Elok Dikhaskan Untuk Hentian) kini menyediakan ruang khusus untuk golongan itu berehat, makan dan melakukan keperluan lain sebelum kembali meneruskan tugasan.

Bagi Muhammad Zariff Haiqal Mohd Fadzil, 30, yang sudah tujuh tahun bekerja sebagai penghantar p-hailing, antara cabaran yang sering dihadapinya ialah mendapatkan tempat sesuai untuk menikmati bekalan makanan yang dibawa dari rumah.

Penghantar p-hailing, Muhammad Zariff Haiqal Mohd Fadzil

“Kadang-kadang saya makan dekat perhentian bas. Kalau hendak menumpang di kedai orang, rasa macam tidak sopan.

“Bila ada tempat khusus macam TEDUH, saya dah tahu kalau waktu makan saya boleh datang ke sini. Bagi saya inisiatif ini sangat bagus dan sangat praktikal,” katanya.

Zariff yang sering mengambil pesanan di sekitar SS2 dan Kelana Jaya berkata, kemudahan itu turut menyediakan ruang untuk penghantar p-hailing menunaikan solat dengan lebih selesa.

Sentimen sama dikongsi Muhammad Zulkiffli Abdul Aziz, 33, yang sudah tiga tahun bekerja sebagai penghantar p-hailing di sekitar Petaling Jaya.

Menurutnya, keadaan cuaca yang tidak menentu antara cabaran harian yang memerlukan penghantar mencari lokasi sesuai untuk berhenti seketika.

Penghantar p-hailing, Muhammad Zulkifli Abdul Aziz

“Bila ada ‘pit stop’ ini, penghantar ada tempat khusus dan kami rasa dihargai. Kalau boleh diperbanyakkan di tempat lain, ia akan memudahkan lebih ramai penghantar,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Haiqal Haffez Tarmizi, 23, berkata kemudahan seperti kipas dan ruang mengecas telefon antara perkara yang menarik baginya di Pusat TEDUH.

Penghantar p-hailing yang sudah kira-kira setahun setengah bekerja di sekitar Lembah Klang itu berkata, sebelum ini dia hanya mencari kawasan berbumbung atau teduh selepas selesai menghantar pesanan.

Penghantar p-hailing, Muhammad Haiqal Hafiz Tarmizi

“Kalau lepas hantar barang dan hendak cari pesanan baharu, kalau tiada tempat macam ini saya hanya akan menyelit di mana-mana kawasan yang ada teduhan atau bumbung untuk elak matahari.

“Kalau dah ada macam ini, saya boleh datang ke sini dan berehat. Ada kipas, ada pengecas telefon, memang amat memudahkan rider macam kami,” katanya.

Haiqal berharap lebih banyak Pusat TEDUH diwujudkan di lokasi lain supaya kemudahan itu dapat dimanfaatkan lebih ramai penghantar p-hailing, selain menjadi tempat untuk mereka bertemu rakan seperjuangan.

Katanya, pertambahan lokasi juga dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan penghantar p-hailing mengenai kewujudan kemudahan berkenaan.

EXCO Pembudayaan Inovasi, Dr Fahmi Ngah menandtangani plak perasmian di hadapan tempat rehat bagi penunggang e -hailing ketika majlis Perasmian Teduh@MBPJ di Taman BAndar SS2, Petaling Jaya pada 3 September 2026. Foto HAFIZ OTHMAN

Terdahulu, Pusat TEDUH @ MBPJ di SS2 dirasmikan oleh EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah pagi tadi.

Mula diperkenalkan pada 25 September tahun lalu, projek TEDUH sebagai kawasan rehat yang selamat untuk penghantar p-hailing selepas membuat penghantaran atau ketika menunggu pesanan.

Kini, kemudahan berkenaan tersedia di kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.