Pusat TEDUH kini tersedia di 12 PBT Selangor, beri keselesaan penghantar p-hailing

3 Sep 2026, 6:43 AM
Pusat TEDUH kini tersedia di 12 PBT Selangor, beri keselesaan penghantar p-hailing
Pusat TEDUH kini tersedia di 12 PBT Selangor, beri keselesaan penghantar p-hailing
Pusat TEDUH kini tersedia di 12 PBT Selangor, beri keselesaan penghantar p-hailing
Pusat TEDUH kini tersedia di 12 PBT Selangor, beri keselesaan penghantar p-hailing

PETALING JAYA, 3 SEPTEMBER: Selepas berdepan panas, hujan dan tekanan mengejar masa penghantaran, penghantar p-hailing di Selangor kini mempunyai ruang rehat khusus menerusi Pusat TEDUH (Tempat Elok Dikhaskan Untuk Hentian) yang tersedia di kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata kemudahan itu memberi ruang kepada penghantar untuk berhenti seketika sementara menunggu pesanan, selain berlindung daripada cuaca tidak menentu.

“Dengan cuaca yang panas dan keperluan mendesak terutama daripada platform yang mengsyaratkan mereka untuk lebih segera serta mengurangkan masa penghantaran, tentunya ada tekanan kepada penghantar.

“Jadi dengan adanya tempat TEDUH ini, ia dapat membantu meringankan tekanan kepada penghantar p-hailing,” katanya kepada media selepas merasmikan Pusat TEDUH @ MBPJ di SS2 di sini, hari ini.

EXCO Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah bercakap kepada media selepas majlis Perasmian TEDUH@MBPJ di Taman Bandar SS2, Petaling Jaya pada 3 September 2026. Foto HAFIZ OTHMAN

Menurut Mohammad Fahmi, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM30,000 kepada setiap PBT bagi membangunkan kemudahan berkenaan, manakala tambahan dana boleh disediakan mengikut keperluan masing-masing.

“Penambahan peruntukan ditentukan oleh PBT sendiri berdasarkan kapasiti rider di kawasan masing-masing dan saiz kemudahan yang ingin dibangunkan.

“Walau bagaimanapun, setiap tempat perlu memenuhi ciri standard seperti kipas, tempat duduk, ruang motosikal berbumbung jika boleh serta kemudahan mengecas telefon,” ujarnya.

Pusat TEDUH @ MBPJ dibangunkan dengan kos keseluruhan RM130,000, merangkumi peruntukan awal RM30,000 daripada Kerajaan Negeri dan tambahan RM100,000 oleh MBPJ bagi menyediakan struktur yang lebih kemas dan selamat.

EXCO Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah bergambar bersama selepas menyampaikan cenderahati kepada wakil wakil penunggang e-hailing ketika majlis Perasmian TEDUH@MBPJ di Taman Bandar SS2, Petaling Jaya pada 3 September 2026. Foto HAFIZ OTHMAN

Mohammad Fahmi berkata fasa pertama pembangunan Pusat TEDUH membabitkan lima PBT sebelum diperluas sehingga sekurang-kurangnya satu kemudahan siap dibangunkan di setiap 12 PBT di Selangor.

“Kita akan membuat pelancaran di tempat lain dan yang seterusnya mungkin di Sepang,” katanya.

Projek TEDUH mula diperkenalkan pada 25 September tahun lalu sebagai kawasan rehat selamat untuk penghantar p-hailing selepas membuat penghantaran atau ketika menunggu pesanan.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.