SHAH ALAM, 18 NOV: Seorang penunggang motosikal maut selepas dihempap pokok tumbang di Jalan Set 2/8, Setia Eco Templer, Selayang, petang ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar mengesahkan lelaki yang tersepit di bawah pokok tumbang itu berjaya dikeluarkan pada jam 2.35 petang, namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.19 petang sebelum enam anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi pada 2.28 petang, komander operasi melaporkan terdapat sebatang pokok telah tumbang dan menghempap sebuah lori Isuzu serta sebuah motosikal Yamaha Nmax.
“Terdapat seorang penunggang motosikal lelaki tersepit dan tidak sedarkan diri. Pasukan bomba kemudiannya bertindak menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala kerja mengalihkan pokok tumbang selesai sepenuhnya.

Terdahulu, beberapa rakaman video dan gambar yang tular di media sosial menunjukkan kejadian pokok tumbang di laluan dari Rawang menghala ke Selayang, yang turut dilaporkan menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk di kedua-dua arah.
Susulan kejadian itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Anfaal Saari menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Taman Templer merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita kepada keluarga mangsa.
Menurut kenyataan itu, PKM DUN Taman Templer telah berhubung dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR), bomba serta agensi keselamatan bagi memastikan kerja pembersihan dan pengalihan halangan di laluan terjejas dilaksanakan segera.
“Keutamaan kita adalah memastikan kelancaran trafik dan keselamatan semua pengguna jalan raya, khususnya di laluan FT01,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati, mematuhi arahan pihak berkuasa dan sentiasa peka terhadap keadaan trafik semasa.








