ad

Selangor perkenal TEDUH, usaha lindungi keselamatan pemandu p-panggilan

25 Sep 2025, 12:42 PM
Selangor perkenal TEDUH, usaha lindungi keselamatan pemandu p-panggilan

SHAH ALAM, 25 SEPT: Kerajaan Negeri bakal melancarkan Projek “TEDUH” (Tempat Elok untuk Hentian) sebagai kawasan rehat selamat untuk pemandu p-panggilan selepas penghantaran barangan atau sementara menunggu pesanan.

EXCO Pembudayaan Inovasi, Dr Muhammad Fahmi Ngah berkata, projek berkenaan dilaksanakan di lima majlis bandar raya dan perbandaran pada fasa pertama sebagai usaha menjaga keselamatan serta kesejahteraan komuniti terbabit.

“Pemandu p-panggilan adalah komuniti penting dalam penjanaan ekonomi Negeri Selangor. Projek ini menyediakan ruang rehat yang lebih selamat untuk mereka,” katanya di Instagram.

Menurut beliau, antara punca ramai pemandu p-panggilan terlibat kemalangan di jalan raya ialah kurang rehat serta tidak mengutamakan aspek keselamatan seperti memakai topi keledar.

“Lebih membimbangkan, mereka dikejar masa yang ketat bagi memastikan bayaran diterima. Akibatnya, ada yang sanggup melanggar lampu isyarat dan peraturan jalan raya kerana terlalu tergesa-gesa,” katanya.

Tambahnya, inisiatif berkenaan merupakan inovasi pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama syarikat p-panggilan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Kerajaan Negeri.

“Kemudahan yang disediakan termasuk pengecas telefon bimbit, bangku untuk berehat dan tidur, kipas, bekalan air, elektrik serta kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjamin keselamatan,” jelasnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.