SHAH ALAM. 20 Julai: Ketika kebanyakan orang berehat atau bersantai selepas waktu kerja berakhir, Muhammad Fakhrul Haziq Sahril Azwan masih setia di motosikal. Sekejap-sekejap membelek skrin telefon bimbit, kalau-kalau ada notifikasi baharu buat penyambung rezeki.
Begitulah rutin pemuda berusia 22 tahun berasal dari Klang itu sejak setahun lalu. Selesai bertugas sebagai penghantar barangan perubatan pada siang hari, malam pula bekerja sambilan.
Beliau berharap dapat menambah pendapatan lantaran kos sara hidup kian meningkat. Meski masih bujang tanpa tanggungan, kerja sambilan bagi Muhammad Fakhrul Haziq bukanlah pilihan tetapi keperluan.
“Kalau dapat RM20-RM30 syukur sahaja, janji ada,” kata lepasan diploma teknologi kimpalan itu kepada Media Selangor.

Tidak seperti sebelum ini, semasa Muhammad Fakhrul Haziq menjadi penghantar makanan sepenuh masa, beliau kini menetapkan jumlah sasaran pesanan harian. Esok pagi, ada kerja hakiki menanti.
“Kebiasaannya saya mula membuat penghantaran selepas maghrib sehingga sekitar jam 10 malam, bergantung kepada cuaca dan jumlah tempahan," katanya.
Sepanjang mencari rezeki, baik malam atau siang, faktor cuaca antara cabaran paling besar. Hujan lebat meningkatkan risiko berada di jalan raya. Panas terik tempahan pula berkurangan.
Jika hujan agak lebat, beliau terpaksa berhenti seketika dan mencari tempat berteduh di tepi jalan. Sambil menahan kesejukan, beliau menunggu hujan reda sebelum meneruskan perjalanan.
Beliau tidak mahu menempah bahaya. Apatah lagi, selalu juga dia berdepan situasi hampir terlibat kemalangan ketika membuat penghantaran. Mujur, tiada kejadian buruk setakat ini.

Di sebalik kegigihan itu, beliau mengakui kadar bayaran masa kini lebih rendah berbanding beberapa tahun lalu. Namun, itu bukan alasan untuk tidak berusaha bagi menambah pendapatan.
“Dulu satu penghantaran boleh mencecah sekitar RM6 tetapi sekarang ada yang kurang daripada itu. Kalau tempahan kurang, kadang-kadang saya perlu menunggu sehingga dua jam untuk dapat satu order (tempahan),” katanya.
Pun begitu, sesekali beliau membantu pelanggan yang memerlukan pertolongan. Namun, Muhammad Fakhrul Haziq berharap pelanggan memahami kepayahan penghantar makanan.
“Kalau pelanggan minta tolong beli barang lain dan tidak menyusahkan, saya boleh bantu. Tetapi jangan anggap rider (penghantar) sebagai kuli kerana kami juga ada tanggungjawab untuk menghantar pesanan lain mengikut masa yang ditetapkan,” katanya.
Apapun, semua rintangan itu diredahi jua. Berpanas dan berhujan hampir 12 jam sehari tidak sesekali mematahkan semangatnya. Lebih-lebih lagi, beliau ada menyimpan harapan untuk mengikut kursus kemahiran berbayar, kebanyakan menelan belanja ribuan ringgit.

Di sebalik topi keledar dan beg penghantaran yang dipikul setiap hari, beliau kekal cekal demi memastikan rezeki terus mengalir. Berharap kepayahan hari ini mungkin menjadikan esok lebih baik.
Pengalaman itu turut dilalui seorang lagi penghantar makanan, Muhammad Iman Rafiq A Wahid. Sentiasa menghambat masa dan meredah kesesakan jalan di kota raya selain berdepan cuaca tidak menentu.
“Kena hadap jalan, kejar masa dengan cuaca semua, kalau dapat pelanggan yang cerewet susah sedikit,” kata pemuda berusia 25 tahun itu yang bekerja sebagai pembekal di Shah Alam tetapi bekerja sambilan bagi menambah pendapatan.
Betapa tidak, ada juga segelintir pelanggan meminta barangan di luar aplikasi yang dibeli. Terpaksa beliau ke lokasi yang lebih jauh sedangkan setiap roda bergolek adalah kos buat mereka.
Apatah lagi, perbelanjaan untuk penyelenggaraan motorsikal agak tinggi lantaran setiap penghantaran melewati antara 80 hingga 100 kilometer sehari. Justeru, tukar minyak hitam hanya apabila pendapatan daripada tempahan mencukupi.
“Ikut bajetlah, tengok berapa banyak tempahan yang dapat, kalau dapat lebih, boleh servis (tukar minyak hitam dan asas) lebih sedikit," katanya sambil berharap kerajaan memberi bantuan dalam aspek itu atau pemberian minyak percuma kepada pekerja ekonomi gig.
Lain pula cabaran Amir Asyraf Abd Rahim, 32, yang bekerja sepenuh masa sebagai penghantar makanan selama empat tahun. Beliau mengaktifkan dua atau tiga aplikasi serentak bagi meningkatkan peluang memperoleh tempahan.
Namun, kerja itu bukan sekadar mengambil dan menghantar makanan. Penghantaran ke kediaman bertingkat menguji kesabaran andai perlu berulang-alik menaiki tangga atau kemudahan lif tidak berfungsi.
“Penghantaran rumah (tingkat) atas ini kadang-kadang sehari sehingga berbelas-belas ke berpuluh-puluh kali menaiki tangga,” katanya.
Pun begitu, di sebalik segala bentuk kesukaran ketika menghantar barangan mahupun makanan, mereka sebenarnya membawa kegembiraan kepada si pemesan, sekali gus rezeki buat mereka sendiri.








