MBSJ perkenal projek TEDUH: Rehat selesa dan selamat untuk penunggang p-panggilan

20 Jan 2026, 3:31 AM
MBSJ perkenal projek TEDUH: Rehat selesa dan selamat untuk penunggang p-panggilan
MBSJ perkenal projek TEDUH: Rehat selesa dan selamat untuk penunggang p-panggilan

SUBANG JAYA, 20 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memperkenalkan Projek TEDUH, inisiatif menyediakan kemudahan rehat selesa, selamat dan teratur khusus untuk penunggang perkhidmatan p-panggilan.

Pihak berkuasa tempatan itu menerusi Facebook memaklumkan, inisiatif berkenaan dijayakan melalui kerjasama Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Selangor.

"Lokasi di hadapan Pasar Moden SS15, Subang Jaya. Antara kemudahan yang disediakan termasuk penghadang keselamatan dan ruang parkir motosikal, tempat pengecas telefon, kerusi selesa, kipas dan lampu LED.

"Kamera litar tertutup (CCTV) dan tong sampah kitar semula turut disediakan," katanya.

Menurut MBSJ, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan MBSJ dalam mengukuhkan penggunaan teknologi mampan serta meningkatkan keselesaan dan kemudahan awam demi kesejahteraan komuniti.

Projek TEDUH atau Tempat Elok untuk Hentian mula diperkenalkan pada 25 September tahun lalu, sebagai kawasan rehat selamat untuk pemandu p-panggilan selepas penghantaran barangan atau semasa menunggu pesanan.

EXCO Pembudayaan Inovasi, Dr Muhammad Fahmi Ngah, berkata fasa pertama projek ini dilaksanakan di lima majlis bandar raya dan perbandaran, sebagai usaha memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti terlibat.