HULU SELANGOR, 15 OGOS: Kerajaan Negeri melonggarkan syarat kelayakan insentif MamaKerja 2.0 bagi membolehkan lebih ramai ibu bekerja di Selangor menerima manfaat bantuan RM1,000.
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata antara perubahan utama ialah pemohon kini hanya perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berusia enam tahun ke bawah berbanding syarat minimum tiga anak ketika pelaksanaan MamaKerja 1.0.
“Kalau sebelum ini MamaKerja 1.0 kita letakkan minimum tiga orang anak bawah 12 tahun, tetapi kita melihat kepada keperluan pendidikan awal kanak-kanak umur enam tahun ke bawah, minimum seorang sahaja dan kita berfokuskan kepada bantuan ibu bekerja.
“Jadi bantuan itu kepada seorang ibu, walaupun ada lebih daripada seorang anak bawah enam tahun, tetap jumlahnya RM1,000 juga,” katanya pada majlis pelancaran MamaKerja 2.0 sempena Jelajah Wanita Berdaya Tahan Selangor 2026 Zon Hulu Selangor, hari ini.
Menurut Anfaal, MamaKerja 1.0 merekodkan kira-kira 4,500 penerima dan kelonggaran syarat kali ini diharap dapat memperluas manfaat kepada lebih ramai ibu bekerja.
“Permintaan sebelum ini memang tinggi tetapi mungkin syarat tersebut menyebabkan lebih terhad dari segi kelayakan mereka yang memohon. Kita harap dapat memperluaskan lagi impak dan manfaat,” katanya.
Mengulas lanjut, Anfaal berkata permohonan MamaKerja 2.0 termasuk semakan kelayakan boleh dibuat menerusi aplikasi NINE mulai jam 3 petang Isnin ini (17 Ogos).
"Bantuan RM1,000 itu akan disalurkan dalam dua fasa, dengan RM500 dibayar pada fasa pertama dan baki RM500 dalam tempoh 90 hari dari tarikh kelulusan pertama," katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5.6 juta bagi program itu menerusi Belanjawan Selangor 2026 sebelum ditambah RM5 juta melalui Pakej Daya Tahan Ekonomi Selangor, menjadikan keseluruhan peruntukan RM10.6 juta.
Antara syarat kelayakan MamaKerja 2.0 ialah warganegara Malaysia dan pengundi Selangor, wanita bekerja dengan pendapatan isi rumah RM8,000 ke bawah serta mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berusia enam tahun ke bawah.
Pemohon juga bukan penerima MamaKerja 1.0, Asuh Pintar, Tunas dan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), manakala keutamaan diberikan kepada mereka yang menghantar anak ke tadika atau taska berdaftar atau pengasuh yang mengikuti Kursus Asas Pengasuhan (KAP) atau Iltizam Penjagaan & Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IMPAK).
Inisiatif MamaKerja merupakan antara Tawaran Kita Selangor dalam tempoh 100 hari yang dijanjikan gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023.
Dalam perkembangan berkaitan, Anfaal berkata Kerajaan Negeri turut memperkenalkan MamaKerja+ yang akan dilaksanakan mulai tahun depan dengan memberi tumpuan kepada aspek keibubapaan, pembangunan kanak-kanak dan pengukuhan institusi keluarga.
“Sebagai permulaan kepada kerjasama dengan Kerajaan Selangor, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia akan menyediakan sokongan teknikal bagi penilaian MamaKerja 2.0 untuk membantu memahami hasil program serta memaklumkan penambahbaikan pada masa hadapan.
“UNICEF Malaysia akan bekerjasama dengan Wanita Berdaya Selangor dalam pelaksanaan MamaKerja+ termasuk dalam aspek reka bentuk program rintis, pembangunan dasar, serta pemantauan dan penilaian keberkesanan,” katanya.






