HULU LANGAT, 4 JULAI: Jelajah Wanita Berdaya Tahan Selangor 2026 di Zon Hulu Langat membuka lebih banyak peluang kepada golongan wanita untuk kembali menyertai pasaran pekerjaan dan membina kerjaya.
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata penyertaan 38 syarikat dalam jelajah itu menawarkan lebih banyak pilihan pekerjaan kepada peserta serta menyokong usaha memperkukuh ekonomi negeri.
“Untuk zon Hulu Langat saya kira dengan syarikat-syarikat yang lebih banyak kalau berbanding dengan zon Petaling kita menerima sekitar 21 penyertaan syarikat dan untuk Hulu Langat mungkin di kawasan ini lebih banyak industri, kita menerima penyertaan 38 syarikat.
“Kita akan mendapat maklumat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor berapa ramai yang telah diterima berdasarkan temu duga terbuka (walk-in interview) dan sebagainya,” katanya ketika merasmikan program itu di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anfaal berkata Selangor turut mencatat pencapaian membanggakan apabila berada di kedudukan kedua tertinggi bagi penyertaan tenaga buruh wanita, melebihi kadar nasional.
“Ia merupakan satu kejayaan tetapi kita tidak boleh berpuas hati. Ia bukan hanya statistik ia perlu diterjemahkan dalam bentuk peluang wanita itu boleh punya pendapatan, meningkatkan ekonomi, keyakinan diri (self-esteem) dan juga keupayaan menghantar anak-anak ke tempat yang lebih berkualiti.
“Ini kerana dengan ketenangan (peace of mind) ibu-ibu yang boleh bekerja ini boleh menyumbang untuk mengukuhkan ekonomi negeri dalam masa yang sama anak-anak dihantar ke tempat yang berkualiti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) Siti Faridah Abdul Samad berkata jelajah berkenaan diteruskan bagi memperluas capaian program serta inisiatif Kerajaan Negeri kepada lebih ramai masyarakat.
“Setiap zon yang dilawati membawa pendekatan dan keperluan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu memastikan wanita di Selangor terus diperkasa dengan peluang, sokongan dan jaringan yang sewajarnya.
“Harapan kita adalah agar pelaksanaan jelajah ini dapat memberi keyakinan kepada setiap wanita yang hadir bahawa terdapat jaringan sokongan yang sentiasa tersedia untuk membantu mereka berkembang mengikut potensi masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Anfaal menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara WBS dan PERKESO.
Usaha itu sebagaian usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam memperluas peluang pembangunan kerjaya serta perlindungan sosial untuk wanita di negeri ini.
Pada majlis sama, Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) menyerahkan sumbangan RM15,000 kepada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bagi pelaksanaan Program Saringan Penentuan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (PROSPER).
Siri pertama Jelajah Wanita Berdaya Tahan Selangor 2026 berlangsung di Zon Petaling pada Jun lalu.
Program itu akan diteruskan hingga November depan melibatkan Zon Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Selangor.










