SHAH ALAM, 4 SEPT: Sebanyak 16,199 permohonan MamaKerja 2.0 diterima sejak insentif bantuan RM1,000 bagi membantu ibu bekerja di Selangor itu dibuka pada 17 Ogos lalu.
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata tempoh kelulusan permohonan itu dianggar dalam tempoh 45 hari.
“Daripada jumlah itu, 16,091 dalam proses pemeriksaan manakala 108 lagi ditolak atas beberapa faktor termasuk tidak cukup syarat dan bukan pengundi Selangor.
“Selain itu, faktor lain yang menyebabkan permohonan mereka ditolak tiada anak berusia bawah enam tahun dan gagal membuktikan pendapatan,” katanya kepada Media Selangor.
Permohonan MamaKerja 2.0 mula dibuka menerusi aplikasi NINE mulai 17 Ogos dan disalurkan dalam dua fasa dengan RM500 dibayar pada fasa pertama dan baki RM500 dalam tempoh 90 hari dari tarikh kelulusan pertama.
Kerajaan Negeri melonggarkan syarat kelayakan insentif MamaKerja 2.0 bagi membolehkan lebih ramai ibu bekerja di Selangor menerima manfaat bantuan RM1,000.
Antara perubahan utama ialah pemohon kini hanya perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berusia enam tahun ke bawah berbanding syarat minimum tiga anak ketika pelaksanaan MamaKerja 1.0.
Antara syarat kelayakan MamaKerja 2.0 ialah warganegara Malaysia dan pengundi Selangor, wanita bekerja dengan pendapatan isi rumah RM8,000 ke bawah serta mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berusia enam tahun ke bawah.
Pemohon juga bukan penerima MamaKerja 1.0, Asuh Pintar, Tunas dan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), manakala keutamaan diberikan kepada mereka yang menghantar anak ke tadika atau taska berdaftar atau pengasuh yang mengikuti Kursus Asas Pengasuhan (KAP) atau Iltizam Penjagaan & Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IMPAK).
Inisiatif MamaKerja merupakan antara Tawaran Kita Selangor dalam tempoh 100 hari yang dijanjikan gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 2023.









