HULU SELANGOR, 15 OGOS: Golongan wanita merangkumi kira-kira 80 peratus individu yang diterima bekerja menerusi karnival kerjaya sepanjang tiga siri Jelajah Wanita Berdaya Tahan Selangor 2026 setakat ini.
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata pencapaian itu selari dengan usaha Kerajaan Negeri membuka peluang kepada wanita untuk kembali membina kerjaya, sekali gus memperkukuh ekonomi negeri.
Menurutnya, antara inisiatif disediakan ialah program Career Comeback dengan kerjasama TalentCorp, selain semakan resume bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Ada ramai wanita yang sebenarnya pernah bekerja, berhenti bekerja dan kita mahu berikan peluang kedua kepada mereka.
“Melalui PERKESO juga kita jalankan untuk semakan (review)resume. Itu sangat membantu mereka memastikan naik taraf dari segi peluang untuk mendapatkan pekerjaan.

“Kita masih mengumpulkan tapi anggaran saya boleh katakan lebih kurang 80 peratus daripada mereka yang diterima bekerja adalah wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Jelajah Wanita Berdaya Tahan Selangor 2026 bagi Zon Hulu Selangor, hari ini.
Menurut Anfaal, program itu turut terbuka kepada lelaki dengan ramai daripada mereka hadir secara walk-in untuk menjalani temu duga.
Pada program sama, Insentif MamaKerja 2.0 yang menawarkan bantuan RM1,000 kepada ibu bekerja di Selangor turut dilancarkan.
Mengulas penyertaan majikan, beliau berkata sambutan diterima menggalakkan apabila syarikat dari luar daerah turut hadir menawarkan peluang pekerjaan.

“Saya lihat sambutan majikan juga sangat baik. Bukan sahaja di zon ini malah kita dimaklumkan syarikat Top Glove dari Klang datang juga ke sini untuk membuka peluang,” katanya.
Selain karnival kerjaya, program berkenaan menyediakan saringan kesihatan termasuk untuk warga emas dengan kerjasama BeVital.
Jelajah itu turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Wanita Berdaya Selangor dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Siri pertama Jelajah Wanita Berdaya Tahan Selangor 2026 berlangsung di Zon Petaling pada Jun lalu, diikuti Zon Hulu Langat pada Julai dan Hulu Selangor bulan ini.
Program berkenaan akan diteruskan hingga November depan melibatkan Zon Gombak dan Kuala Selangor.









