SUBANG JAYA, 6 JUN: Jelajah Wanita Berdaya Tahan Selangor 2026 memulakan siri pertamanya di Zon Petaling hari ini sebagai usaha memperkukuh agenda pemerkasaan wanita secara lebih inklusif dan menyeluruh.
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata penganjuran jelajah itu diteruskan sehingga November depan di Hulu Langat, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Selangor.
“Jelajah ini memberi fokus kepada beberapa penambahbaikan strategik selaras dengan Dasar Wanita Selangor 2024–2026 serta Dasar Ekonomi Penjagaan 2024–2030.
“Antaranya penyediaan sokongan ekonomi dan kerjaya menyeluruh dengan mengetengahkan dua pengisian utama iaitu Karnival Kerjaya Wanita dan Bengkel Career Comeback Program (CCP).
“Inisiatif ini juga menghimpunkan kerjasama strategik bersama agensi Persekutuan dan negeri seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor dan TalentCorp bagi penyediaan peluang kerjaya, di samping penglibatan program kesihatan Selangor Saring.
“Selain itu pengukuhan kebajikan dan ekonomi penjagaan selaras dengan sambutan Hari Ibu bertema “Seteguh KASIH Ibu”. Program ini mengiktiraf peranan wanita sebagai tunjang keluarga,” katanya selepas perasmian program itu di Dewan Serbaguna MBSJ SS15 hari ini.

Terdahulu, Anfaal melawat 40 reruai yang disertai pelbagai agensi kerajaan dan syarikat penyedia peluang pekerjaan sepanjang jelajah yang bermula seawal jam 9 pagi.
Dalam perkembangan sama, Anfaal memaklumkan seramai 16 individu diterima bekerja serta-merta selepas menjalani sesi temu duga bersama beberapa syarikat, hari ini.
“Apabila sebut jelajah wanita berdaya tahan, bila berlakunya konflik Asia Barat tu mungkin ada yang diberhentikan kerja, ada yang mahu meneroka peluang-peluang baharu.
“Syarikat atau agensi pekerjaan ini terbuka kepada semua, tapi setakat rekod tadi daripada pihak Perkeso Selangor, daripada 69 yang telah datang dan daripada 69 tersebut, 16 telah diterima bekerja. Daripada 16 itu 10 daripadanya adalah wanita.
“Tiada isu pertindihan pencarian kerja seperti dilaksana sebelum ini sebab data Perkeso menunjukkan vacancy opening ada 130,000, tetapi yang memerlukan pekerjaan atau diberhentikan mungkin sekitar 23,000,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor Siti Faridah Abdul Samad berkata jelajah tersebut merupakan inisiatif strategik Kerajaan Negeri yang dilaksanakan secara menyeluruh merentasi lima zon seluruh Selangor.

“Pendekatan lima zon ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan agenda pemerkasaan wanita tidak hanya tertumpu di satu kawasan, tetapi benar-benar sampai ke seluruh negeri secara lebih dekat dan inklusif.
“Melalui pendekatan turun padang ini, kita mahu memastikan setiap wanita tanpa mengira latar belakang dan lokasi mempunyai akses yang sama kepada peluang pekerjaan, bantuan, perlindungan sosial, kesihatan serta program pembangunan diri,” ucapnya.









