76 tapak sampah haram masih aktif di Selangor, penguatkuasaan dipertingkat

9 Ogos 2026, 12:32 AM
76 tapak sampah haram masih aktif di Selangor, penguatkuasaan dipertingkat
76 tapak sampah haram masih aktif di Selangor, penguatkuasaan dipertingkat

SHAH ALAM, 9 OGOS: Pemantauan lebih kerap dan penguatkuasaan bersepadu dipertingkat di 76 tapak pembuangan sampah haram yang dikenal pasti masih aktif di Selangor, khususnya lokasi yang kerap menjadi tumpuan kegiatan itu.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata, langkah berkenaan sebahagian daripada pendekatan menyeluruh kerajaan negeri yang merangkumi aspek pencegahan, pemantauan, pembersihan dan penguatkuasaan.

Menurutnya, tumpuan ketika ini diberikan kepada lokasi yang berulang kali menjadi tapak pembuangan sampah haram atau dikenal pasti sebagai lokasi panas.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Tindakan di kawasan berkenaan dilaksanakan menerusi pemantauan lebih kerap, kerja pembersihan serta penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama agensi berkaitan.

"Pada masa sama, Kerajaan Negeri sedang memperluas penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi hotspot sampah haram bagi membantu pemantauan dan pengesanan kesalahan, di samping memperkukuh tindakan bersepadu antara PBT, KDEB Waste Management, Pejabat Daerah dan Tanah dan agensi penguatkuasaan berkaitan.

"Pendekatan Kerajaan Negeri bukan sekadar membersihkan sampah selepas ia dibuang. Fokus kita untuk memutuskan kitaran pembuangan sampah haram supaya lokasi dibersihkan tidak kembali menjadi tapak sampah haram," katanya seperti dilapor Metro Ahad.

Terdahulu, Media Selangor melaporkan Kerajaan Selangor akan memuktamadkan keputusan mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) pada akhir tahun ini atau awal 2027.

Suee Lim berkata Kerajaan Negeri sedang berunding dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi melaksanakan penguatkuasaan lebih ketat membanteras kegiatan pembuangan sampah haram melalui akta tersebut.

Menurutnya lagi, penguatkuasaan ketika ini di peringkat PBT di Selangor hanya berdasarkan undang-undang kecil yang memperuntukkan denda maksimum RM1,000 kepada individu yang membuang sampah secara haram.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.