SHAH ALAM, 14 SEPT: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menyita sebuah ekskavator dan lori Roro dalam operasi membanteras pembuangan sampah haram di dua lokasi pada 12 September lalu.
Operasi menerusi Jabatan Penguatkuasaan serta Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS itu dijalankan di Rentak Perdana, Bandar Puncak Alam dan Kampung Sri Aman, Ijok.
Menurut MPKS, ekskavator terbabit disita di Rentak Perdana selepas didapati digunakan dalam aktiviti pembuangan sampah secara haram.
“Pada masa sama, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPKS turut sama membantu melancarkan operasi termasuk penyediaan dari segi logistik serta penggunaan lori loader bagi proses penyitaan jentera berkenaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, MPKS memaklumkan pemeriksaan di Kampung Sri Aman turut membawa kepada beberapa tindakan penguatkuasaan, termasuk satu kompaun.
“Tindakan diambil dengan mengeluarkan satu kompaun atas kesalahan membuang sampah bukan di tempat yang dibenarkan oleh Majlis di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDKS) 2007,” katanya.
MPKS turut memaklumkan satu Notis Menghendaki Kacauganggu Dihapuskan turut dikeluarkan, manakala sebuah lori Roro disita kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pembuangan sampah haram di lokasi berkenaan.
"Secara keseluruhan, dua sitaan dilakukan selain satu kompaun dan satu notis penguatkuasaan dikeluarkan hasil operasi di kedua-dua lokasi," katanya.
MPKS berkata pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipergiat, dengan tindakan tegas terhadap pihak yang membuang sampah di tempat tidak dibenarkan.







