KLANG, 19 DIS: Kerajaan Negeri meneruskan operasi pembersihan besar-besaran dengan menerjah beberapa lagi lokasi ‘hotspot’ pembuangan sampah haram, susulan operasi pertama di Seksyen 7, kelmarin.
Operasi terbaharu dijalankan di kawasan perumahan Flat Taman Chi Liung, Pandamaran, di sini, dan diketuai EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim, dengan penyertaan KDEB Waste Management (KDEBWM) serta Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Suee Lim berkata keadaan persekitaran di kawasan berkenaan yang kotor dan berbau busuk berpunca daripada pembuangan sampah yang tidak teratur, termasuk lambakan sampah pukal yang dibuang oleh peniaga luar.
“Kutipan sampah dilakukan KDEBWM tidak ada masalah, malah mengikut jadual ditetapkan. Isu utama adalah peniaga luar membuang sampah pukal ke rumah sampah penduduk sehingga menjadi lambakan dan kotor.
“Selain pembersihan, pengurusan penduduk perlu mengambil langkah penyelesaian seperti memasang pagar di sekeliling flat bagi mengelakkan orang luar masuk dan membuang sampah di tempat disediakan.
“Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) juga boleh diletakkan di kawasan tersebut supaya individu terbabit boleh dikesan dan diambil tindakan,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Beliau turut mengingatkan peniaga supaya membuang sampah di tempat sepatutnya atau berdepan tindakan undang-undang, termasuk kompaun sehingga RM1,000.
Dalam perkembangan berkaitan, Suee Lim memaklumkan Kerajaan Negeri kini berada di peringkat akhir perbincangan untuk memeterai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah.
“Proses perbincangan kini sedang dilaksanakan bersama beberapa agensi termasuk Kerajaan Persekutuan untuk menguatkuasakan Akta 672. Dengan penguatkuasaan akta ini, pesalah boleh dikenakan kompaun sehingga RM100,000 dan penjara lima tahun.
“Buat masa ini, ia berada di peringkat akhir dan dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya September tahun depan. Penguatkuasaan ini dapat membanteras aktiviti pembuangan sampah haram secara berleluasa,” katanya.
Kelmarin, Kerajaan Negeri memulakan operasi pembersihan besar-besaran dengan menerjah beberapa lokasi ‘hotspot’ kotor di Seksyen 7, termasuk kawasan saliran di belakang restoran.
Operasi itu bukan sahaja memfokuskan pembersihan saliran dan longkang, malah turut melibatkan kawasan pembuangan sampah haram yang mencemar persekitaran.
Sebelum ini, Bernama melaporkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah baginda menerima banyak aduan berhubung isu kebersihan di Selangor dan mahu tindakan segera dilaksanakan.
Baginda bertitah peningkatan aduan lengkap dengan maklumat pengadu mencerminkan keprihatinan awam yang semakin tinggi terhadap isu kebersihan bandar.
Titah baginda, Selangor sepatutnya menjadi model kemajuan dan pentadbiran yang baik, “tetapi rakyat beta mengadu bahawa berjalan di kebanyakan bandar dan pinggir bandar hari ini tidak seperti yang diuar-uarkan.”




