PETALING JAYA, 18 NOV: Selangor diiktiraf sebagai Negeri Pintar Malaysia 2026 dengan kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) turut menerima pengiktirafan pelaksanaan bandar pintar.
EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim berkata enam PBT memperoleh pengiktirafan Tahap 2 (Developing Smart City) manakala enam lagi menerima Tahap 1 (Smart City Early Adopter).
Menurutnya, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Selangor, PBT dan agensi berkaitan dalam memperkukuh pendigitalan serta pembangunan bandar pintar.
“Enam PBT yang menerima pengiktirafan Tahap 2 ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).
“Sementara itu, enam PBT yang menerima pengiktirafan Tahap 1 ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Selangor 2026 di sini, semalam.
Suee Lim berkata usaha memperkasa agenda Negeri Pintar Selangor bermula sejak 2016 menerusi penubuhan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) sebelum diteruskan melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Smart Selangor 2025.
“Pengiktirafan ini bukanlah titik noktah, sebaliknya menjadi pemangkin untuk kita terus melangkah lebih jauh,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri kini meneruskan usaha berkenaan melalui penyediaan Pelan Induk Bandar Pintar Negeri Selangor 2.0 (2040) sebagai hala tuju jangka panjang pembangunan negeri.








