Penempatan haram Rohingya: ADN gesa penguatkuasaan lebih tegas, cadang kompaun RM1 juta

6 Ogos 2026, 7:00 AM
Penempatan haram Rohingya: ADN gesa penguatkuasaan lebih tegas, cadang kompaun RM1 juta
Penempatan haram Rohingya: ADN gesa penguatkuasaan lebih tegas, cadang kompaun RM1 juta
Penempatan haram Rohingya: ADN gesa penguatkuasaan lebih tegas, cadang kompaun RM1 juta

SHAH ALAM, 6 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz menggesa penguatkuasaan lebih tegas terhadap penempatan haram warga Rohingya susulan aduan penduduk yang diterimanya hampir setiap minggu.

Beliau berkata antara langkah yang wajar dipertimbangkan ialah menaikkan kadar kompaun sehingga RM1 juta terhadap pemilik tanah yang membenarkan kawasan mereka dijadikan penempatan haram bagi membendung kesalahan berulang.

"Sebelum ini kompaun RM250,000 mereka boleh bayar tetapi kesalahan berulang kena lagi kompaun kedua bayar, kompaun ketiga pun bayar. Mana dapat duit tuan tanah ini? Sewa berapa? Jadi, timbul satu curiga di situ seolah-olah ada yang melindungi warga ini.

"Kalau boleh kompaun ini biar dikenakan jumlah maksimum. Kalau boleh RM1 juta, biar orang serik. Orang yang punya tanah ini bertanggungjawablah. Siapa yang bina, siapa yang menyewa, semuanya perlu diketahui.

"Jangan hanya bayar kompaun kemudian perkara yang sama berulang," katanya ketika ditemui pada Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Johan berkata, antara aduan yang diterima ialah pembakaran kabel untuk mendapatkan tembaga, gangguan keselamatan serta pencerobohan rizab jalan dan rizab sungai.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz bercakap kepada media ketika Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Wisma Dewan Negeri Selangor pada 6 Ogos 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, terdapat juga penempatan yang dipindahkan ke lokasi lain selepas aduan dibuat atau tindakan penguatkuasaan dijalankan, sekali gus menyukarkan usaha menangani masalah itu secara menyeluruh.

"Penguatkuasaan kita perlu agresif. Kalau nampak penempatan haram, kena bertindak cepat. Jangan tunggu sampai bangunan sudah empat atau lima tingkat, atau selepas tular baru hendak ambil tindakan," katanya.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh sebahagian warga Rohingya, termasuk berniaga menggunakan motosikal roda tiga dan membuka gerai.

Katanya, isu itu memerlukan kerjasama semua agensi berkaitan serta kerajaan Persekutuan memandangkan ia melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pelarian yang semakin kompleks.

Terdahulu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari memaklumkan seramai 9,515 etnik Rohingya dikenal pasti menetap di beberapa lokasi di daerah Hulu Langat setakat Julai hasil semakan dan kajian yang dilaksanakan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat bersama agensi berkaitan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri memandang serius kebimbangan orang ramai berhubung penempatan PATI, termasuk komuniti etnik Rohingya di beberapa kawasan di daerah berkenaan.

Menurutnya, kawasan seperti Hulu Langat dan Beranang merekodkan sekitar 20 hingga 30 penghuni bagi setiap lokasi, manakala kawasan lebih urban seperti Kajang mencatatkan jumlah penghuni yang lebih tinggi.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.