SHAH ALAM, 16 JUN: Pemilik tanah yang menjadi lokasi penempatan etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Hulu Langat mengakui kesilapan yang berlaku dan berkata kerja merobohkan struktur binaan di kawasan itu dilakukan atas tanggungjawab sendiri.
Lelaki berusia lingkungan 70-an yang enggan dikenali itu berkata pihaknya mengambil langkah merobohkan struktur berkenaan kerana menyedari perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku.
"Saya minta maaf, saya tahu (sudah buat) salah sebab itu kami robohkan sendiri," katanya ketika ditemui di lokasi hari ini seperti dilapor Harian Metro.
Menurutnya, kerja perobohan yang sedang dijalankan dijangka mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk disiapkan.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut dan memaklumkan urusan berkaitan perobohan kini dikendalikan oleh anak-anaknya.
"Kerja merobohkan struktur itu akan mengambil masa kira-kira tiga minggu dan sekarang kerja masih dijalankan. Semua anak yang uruskan, saya datang ini untuk memantau kerja saja," katanya.
Beliau yang memaklumkan tanah berkenaan dimiliki bersama isterinya turut memberi jaminan bahawa sisa runtuhan struktur akan dilupuskan di lokasi yang ditetapkan dengan penyelarasan pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati kerja-kerja perobohan struktur masih diteruskan dengan tumpuan diberikan kepada bahagian belakang kawasan terlebih dahulu.
Kawasan itu turut menjadi perhatian orang ramai sejak beberapa hari lalu susulan pendedahan media mengenai kewujudan penempatan berkenaan yang tular di media sosial.
Seorang pekerja kontraktor mengesahkan kerja perobohan sedang dijalankan dan dijangka mengambil sedikit masa untuk diselesaikan, namun enggan mengulas lanjut.
Seorang penduduk yang enggan dikenali pula berharap proses perobohan dapat disegerakan bagi mengelakkan isu sama berulang pada masa hadapan.
Beliau turut mendakwa kawasan berkenaan sebelum ini menjadi penempatan etnik Rohingya dan keadaan persekitarannya kurang terurus dari aspek kebersihan.






