SHAH ALAM, 14 OKT: Pembinaan semula Surau At-Talbiah di Kampung Dusun Nanding yang terjejas akibat kebakaran tahun lalu dijangka siap awal Januari 2027, sebelum Ramadan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Datuk Wira Johan Abdul Aziz berkata kerja pembinaan berjalan lancar hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk sokongan dan sumbangan masyarakat setempat.
"Kerja pembinaan setakat ini berjalan dengan baik dan lancar dengan sasaran untuk disiapkan pada awal Januari 2027," katanya ketika dihubungi.
Menurut Johan, surau berkenaan dibina semula dengan struktur dua tingkat berikutan keluasan tanah yang terhad, menggunakan peruntukan RM1 juta.
Beliau berkata peruntukan itu diluluskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan permohonan rasmi yang dikemukakannya bagi membantu pembinaan semula surau.
Surau At-Talbiah sebelum ini terjejas dalam kebakaran yang turut melibatkan beberapa rumah pada 27 September 2025.
Susulan kejadian itu, kutipan derma diwujudkan bagi meringankan beban kos yang ditanggung jawatankuasa surau sementara menunggu pembinaan semula.
Johan berharap projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual supaya penduduk kembali mempunyai tempat ibadah dan menjalankan aktiviti kemasyarakatan.
"Semoga pembinaan semula Surau At-Talbiah dipermudah, berjalan lancar hingga selesai dan kembali menjadi tempat ibadah serta pusat penyatuan ukhuwah masyarakat," katanya.








