SHAH ALAM, 18 JUN: Kejadian pencemaran berulang di Sungai Tekali, Hulu Langat perlu ditangani segera kerana kawasan berkenaan terletak berhampiran sumber bekalan air penting kepada penduduk sekitar.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz berkata kejadian terbaru itu dipercayai berpunca daripada pelepasan sisa buangan ke dalam sungai oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan perubahan warna air sungai.
"Bukan kali pertama. Kita dah banyak kali mengadu. Ada kolam ikan yang mana tempat sisa-sisa buangan najis ikan atau air kotornya dilepaskan ke Sungai Tekali," katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Menurut Johan, pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebaik menerima aduan berhubung perubahan ketara pada keadaan air sungai.
"Bila tengok air sudah betul-betul berubah warna, kita dah bagi tahu LUAS dan Jabatan Alam Sekitar. Hari ini kemungkinan besar LUAS akan hantar pasukan untuk tengok bacaan dan keadaan air," ujarnya.
Beliau berkata antara kesan yang dapat dilihat ketika ini ialah warna air bertukar kehijauan selain mengeluarkan bau kurang menyenangkan sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat.
"Sudah tentu ada bau dan warna air juga telah berubah. Itu yang membimbangkan penduduk sekitar," katanya.

Tegas beliau, isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana Sungai Tekali terletak berhampiran Empangan Semenyih yang menjadi antara sumber bekalan air utama di kawasan berkenaan.
"Saya khuatir sebab tempat kita ini pun ada punca air, ada empangan. Jadi tolonglah beri kerjasama terutama kepada pengusaha atau pihak yang menjalankan perniagaan supaya jangan buang sisa ke dalam sungai," tambahnya.
Sehubungan itu, Johan menggesa pemantauan lebih kerap dilakukan oleh agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengenal pasti punca sebenar pencemaran dan mengelakkan kejadian sama berulang.
"Saya harap pemantauan daripada LUAS khususnya dan juga pihak berkuasa tempatan dapat dipertingkatkan kerana kita tidak mahu perkara ini berterusan," katanya lagi.
Menurut beliau, isu berkenaan akan dibawa ke Mesyuarat Tindakan Daerah bagi membolehkan tindakan susulan yang lebih menyeluruh dilaksanakan melibatkan semua agensi berkaitan.
"Saya akan bawa perkara ini ke Mesyuarat Tindakan Daerah supaya tindakan susulan dapat diambil," ujarnya.
Beliau turut mencadangkan supaya semakan dibuat terhadap aktiviti pembangunan, perniagaan dan industri yang beroperasi berhampiran sungai bagi memastikan pematuhan terhadap syarat dan kelulusan yang ditetapkan.
"Kalau boleh pihak berkuasa tengok semula kelulusan-kelulusan yang berhampiran sungai ini. Saya bimbang jika dibiarkan, pencemaran boleh memberi kesan lebih besar kepada Sungai Langat dan sumber air di kawasan sekitar," katanya.







