Isu penempatan Rohingya Sungai Tekali dibawa ke DNS September ini

10 Jun 2026, 12:46 PM
Isu penempatan Rohingya Sungai Tekali dibawa ke DNS September ini

SHAH ALAM, 10 JUN: Isu penempatan warga Rohingya yang tular di Sungai Tekali, Hulu Langat akan dibawa ke Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) September depan bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap masalah penempatan haram di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADUN) Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz berkata perkara itu akan dibangkitkan bagi membolehkan tindakan lebih berkesan diambil termasuk membabitkan aspek penggunaan tanah.

Dalam masa sama, satu mesyuarat khas telah diadakan hari ini melibatkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat bersama beberapa agensi penguat kuasa bagi meneliti tindakan susulan terhadap isu tersebut.

Katanya, mesyuarat itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Mesyuarat berakhir petang tadi dan beberapa keputusan sudah dicapai.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh mendedahkan tindakan yang akan diambil kerana ia membabitkan operasi penguatkuasaan dan boleh menjejaskan keberkesanan tindakan nanti.

“Antara perkara yang dibincangkan adalah tindakan terhadap pemilik tanah yang didapati membenarkan tanah mereka digunakan untuk penempatan warga asing atau aktiviti yang menyalahi syarat penggunaan tanah,” katanya seperti dilapor Harian Metro ketika ditemui di PDT Hulu Langat hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurut Johan, pihak PDT Hulu Langat kini sedang meneliti bentuk tindakan yang sesuai termasuk pengeluaran notis, kompaun atau penalti terhadap pemilik tanah yang didapati menyewakan tanah kepada warga asing.

Beliau berkata semakan pihak berkuasa turut mendapati tiada sebarang penempatan rasmi disediakan kerajaan untuk komuniti Rohingya di daerah berkenaan.

Mengulas penempatan di Sungai Tekali, Johan berkata antara perkara yang membimbangkan ialah kewujudan struktur bangunan berhampiran sungai yang berpotensi memberi kesan kepada alam sekitar.

“Bangunan yang tular itu sebahagiannya berada berhampiran rizab sungai dan kita tidak mahu berlaku pencemaran apabila sisa buangan terus dilepaskan ke dalam Sungai Makau.

“Sebab itu saya berpandangan penyelesaian isu ini tidak boleh tertumpu kepada penghuni semata-mata, sebaliknya perlu melihat punca sebenar iaitu pihak yang membenarkan tanah mereka digunakan sedemikian,” katanya.

Johan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah dan Tanah (JP-PADAT) berkata beliau akan mengusulkan supaya Kerajaan Negeri meneliti keperluan menambah baik undang-undang sedia ada termasuk memperketat hukuman terhadap pemilik tanah yang menyalahgunakan tanah mereka.

“Kita mahu lihat sama ada terdapat keperluan untuk pindaan undang-undang, peningkatan kadar denda atau penalti supaya menjadi pengajaran kepada pemilik tanah.

"Takkan pemilik tanah tidak tahu siapa yang menyewa tanah mereka sehingga boleh wujud bangunan besar dan penempatan yang beroperasi bertahun-tahun,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.