KUALA SELANGOR, 12 JUN: Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang pencerobohan tanah dan pembangunan tanpa kebenaran, termasuk penempatan haram yang dibina di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Hulu Langat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tindakan penguatkuasaan termasuk perobohan struktur akan diteruskan mengikut peruntukan undang-undang, manakala urusan perampasan tanah akan dipertimbangkan sekiranya perlu.
Menurut beliau, pihaknya telah menerima jaminan daripada pegawai daerah bahawa tindakan susulan terhadap penempatan berkenaan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Saya sudah mendapat jaminan daripada pegawai daerah, tindakan segera akan dibuat untuk merobohkan dan kalau ada keperluan perampasan, kita akan buat urusan perampasan tanah, tapi urusan perampasan tanah bukanlah semudah itu, sebab ia hak milik, mereka bayar premium jadi kita kena bagi ruang.
“Ada setengah kes kita keras kena dibawa ke dalam mahkamah sebab itu prosedur. Tentunya penempatan haram kena diroboh dan perlu ditangani dengan sebaik mungkin. Ia bukan hal baru, penempatan-penempatan ini banyak tapi kita kena berdepanlah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu kediaman bertingkat yang didirikan secara tidak sah di Kampung Baru Sungai Makau yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Amirudin turut menegaskan tindakan penguatkuasaan yang diambil Kerajaan Negeri tidak bersandarkan kepada latar belakang atau kewarganegaraan penghuni, sebaliknya tertumpu kepada aspek pematuhan undang-undang serta pentadbiran tanah.
“Semua tempat (penempatan haram) isu dia kita akan uruskan bukan berdasarkan ia dibuat Rohingya atau Indonesia atau Vietnam atau Nepal. Jadi isunya adalah isu pentadbiran dan pengurusan tanah,” katanya.
Beliau berkata isu penempatan haram bukan perkara baharu dan perlu ditangani secara berterusan demi memastikan pengurusan tanah dilaksanakan dengan teratur serta mematuhi peraturan ditetapkan.
Mengulas dakwaan yang pernah dibangkitkan pihak tertentu terhadap tindakan perobohan penempatan haram sebelum ini, Amirudin berkata langkah penguatkuasaan yang dilaksanakan adalah bagi memenuhi keperluan pembangunan serta kepentingan awam.
“Sebab dulu kita merobohkan untuk pembinaan tebatan banjir Pulau Kedondong. Pembangkang bangkitkan dan bantah konon-konon kita nak hancurkan kuasa Melayu, sedangkan majoriti yang ada di situ ialah pendatang tanpa izin yang telah melepasi beberapa generasi, jadi kita kena uruskan,” katanya.

Sebelum ini, Pegawai Daerah Hulu Langat Dato’ Mohd Jusni Hashim memaklumkan struktur berkenaan akan dirobohkan susulan pelbagai tindakan penguatkuasaan yang telah diambil oleh agensi berkaitan sejak beberapa tahun lalu.
Menurut beliau, sebahagian besar bangunan yang tular itu dibina di atas tanah milik individu, manakala sebahagian kecil lagi berada di atas rizab jalan.







