Festival Kebudayaan Orang Asli Selangor tampil pelbagai aktiviti, sasar 5,000 pengunjung

5 Ogos 2026, 1:00 PM
Festival Kebudayaan Orang Asli Selangor tampil pelbagai aktiviti, sasar 5,000 pengunjung
Festival Kebudayaan Orang Asli Selangor tampil pelbagai aktiviti, sasar 5,000 pengunjung

SHAH ALAM, 5 OGOS: Festival Kebudayaan Orang Asli Selangor 2026 bakal dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kebudayaan, sukan tradisional dan jualan produk komuniti di Taman Tasik Millenium, Kuala Kubu Bharu pada 9 Ogos ini.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu berkata, festival yang memasuki penganjuran tahun kedua itu dijangka menarik kira-kira 5,000 pengunjung, termasuk masyarakat Orang Asli dari seluruh Selangor.

"Festival ini bukan sahaja mengiktiraf identiti dan budaya masyarakat Orang Asli, malah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap warisan mereka.

"Penganjurannya juga berupaya mengeratkan perpaduan antara kaum serta membuka peluang ekonomi melalui jualan produk tempatan," katanya pada sidang media di Dewan Annexe, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Beliau berkata, festival yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan itu akan berlangsung dari jam 6.30 pagi hingga 6 petang sempena Sambutan Hari Orang Asal Sedunia Peringkat Negeri Selangor 2026.

Menurutnya, Selangor mempunyai 74 kampung Orang Asli dengan jumlah penduduk seramai 21,156 orang meliputi daerah Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Sepang.

"Semua Tok Batin dan penduduk kampung akan dijemput menghadiri festival berkenaan dengan bantuan pengangkutan yang disediakan JAKOA bagi memudahkan penyertaan komuniti," ujarnya.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu bercakap kepada media pada Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Dewan Annexe, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam pada 4 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Promosi budaya, tarik pelancong

Papparaidu berkata, festival itu turut menjadi platform mempromosikan hasil seni, kraf tangan dan adat resam masyarakat Orang Asli, selain menggalakkan lebih banyak lawatan pelancongan ke perkampungan Orang Asli bagi meningkatkan pendapatan komuniti.

"Tahun lalu kita adakan festival ini di Kampung Orang Asli Bukit Lanjan, Sepang dan mendapat liputan yang sangat baik.

"Kali ini kita harap ia turut mendapat perhatian media di peringkat nasional dan antarabangsa supaya lebih ramai mengenali komuniti Orang Asli serta membantu meningkatkan ekonomi mereka," katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa masyarakat Orang Asli yang masih belum mempunyai dokumen seperti sijil kelahiran atau kad pengenalan supaya hadir ke festival berkenaan bagi mendapatkan bantuan daripada petugas khas.

"Bilangan 21,156 penduduk Orang Asli yang kita rekodkan adalah mereka yang mempunyai dokumen lengkap. Saya tidak menafikan mungkin masih ada yang belum mempunyai dokumen seperti sijil kelahiran atau kad pengenalan.

"Sebab itu saya menjemput mereka hadir ke Sambutan Hari Orang Asal Sedunia ini supaya pejabat saya dapat membantu menguruskan dokumen asal mereka.

"Di bawah portfolio saya memang ada petugas khas yang membantu menyelesaikan isu dokumentasi, bukan sahaja untuk masyarakat Orang Asli tetapi juga masyarakat lain di Selangor," katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.