Festival Orang Asli Selangor himpun penyertaan 74 kampung Ogos ini

21 Jul 2026, 10:56 AM
Festival Orang Asli Selangor himpun penyertaan 74 kampung Ogos ini

SHAH ALAM, 21 JULAI: Festival Kebudayaan Orang Asli Negeri Selangor sempena Sambutan Hari Orang Asal Sedunia 2026 bakal menghimpunkan komuniti daripada 74 kampung Orang Asli di seluruh Selangor pada 9 Ogos ini di Taman Tasik Milenium, Kuala Kubu Bharu.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, Hal Ehwal Orang Asli dan Minoriti V. Papparaidu berkata persiapan penganjuran festival itu kini sedang diselaraskan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor serta pelbagai jabatan dan agensi berkaitan.

"Festival tahunan ini bakal menghimpunkan penyertaan komuniti daripada 74 kampung Orang Asli di Selangor yang terdiri daripada tiga suku utama iaitu Temuan, Semai dan Mah Meri.

"Program ini bertujuan mengangkat serta memelihara warisan budaya Orang Asli di samping memperkukuh perpaduan, persefahaman dan kerjasama antara komuniti Orang Asli dengan masyarakat pelbagai kaum," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata mesyuarat penyelarasan turut memberi tumpuan kepada aspek pengisian program, keselamatan, pengangkutan, kebersihan, kesihatan, promosi serta penyertaan semua agensi yang terlibat.

Katanya, penyelarasan itu penting bagi memastikan Festival Kebudayaan Orang Asli Negeri Selangor 2026 dapat berlangsung dengan lancar, teratur dan memberi impak bermakna kepada masyarakat.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.