Sambutan Deepavali Selangor 6 November, 10,000 pengunjung dijangka hadir

27 Okt 2026, 10:18 AM
Sambutan Deepavali Selangor 6 November, 10,000 pengunjung dijangka hadir
Sambutan Deepavali Selangor 6 November, 10,000 pengunjung dijangka hadir

SHAH ALAM, 27 OKT: Kira-kira 10,000 pengunjung dijangka memeriahkan Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Selangor 2026 yang akan berlangsung di Dataran Klang @ Padang Chetty, Klang pada 6 November ini.

EXCO Sumber Manusia, V Papparaidu berkata sambutan bertemakan Cahaya Perpaduan, Selangor Sejahtera itu akan berlangsung bermula jam 7.30 malam hingga 11.30 malam dengan pelbagai pengisian menarik untuk masyarakat berbilang kaum.

Menurutnya, antara acara disediakan termasuk persembahan kebudayaan masyarakat India, jamuan rakyat dan pemberian duit raya sempena Deepavali kepada pengunjung khususnya kanak-kanak.

“Kita juga mahu anak-anak turut merasai kemeriahan Deepavali melalui pemberian duit raya, selain menikmati persembahan kebudayaan dan jamuan yang disediakan.

"Paling penting, sambutan ini menjadi peluang untuk kita berkumpul, berkongsi kegembiraan dan mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum,” katanya pada sidang media penganjuran sambutan tersebut hari ini.

Papparaidu berkata sambutan tahunan itu bukan sekadar meraikan perayaan masyarakat Hindu, malah menjadi platform memperkukuh perpaduan dan menghargai kepelbagaian budaya di negeri ini.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu ketika sidang media penganjuran Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Selangor di pejabatnya di Shah Alam pada 27 Oktober 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Jelasnya, tema sambutan tahun ini membawa aspirasi menjadikan cahaya Deepavali sebagai simbol perpaduan, harapan dan keharmonian dalam membina masyarakat yang inklusif serta sejahtera.

“Deepavali bukan sekadar perayaan keagamaan dan kebudayaan, malah menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan masyarakat serta menghargai sumbangan setiap komuniti dalam pembangunan Selangor,” katanya.

Sambutan itu turut dijangka dihadiri Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama pemimpin serta pegawai Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Papparaidu menggalakkan orang ramai hadir lebih awal bagi mengelakkan kesesakan dan memudahkan pergerakan di kawasan acara.

Pengunjung turut diingatkan supaya mengutamakan keselamatan, terutama mereka yang membawa kanak-kanak, warga emas dan ahli keluarga.

Beliau berharap sambutan berkenaan dapat menyemarakkan semangat kebersamaan serta memperkukuh hubungan antara masyarakat pelbagai kaum di Selangor.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.