GOMBAK, 29 OKT: Penyerahan bantuan peralatan perniagaan bukan penamat usaha membasmi kemiskinan, sebaliknya perlu menjadi titik permulaan kepada penerima untuk meningkatkan pendapatan dan mengubah taraf hidup.
EXCO Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata bantuan menerusi program Blueprint dan Inisiatif Pembangunan Usahawan India Selangor (i-SEED) perlu dimanfaatkan bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh operasi serta mengembangkan perniagaan.
“Majlis pada hari ini bukan sekadar majlis penyerahan bantuan, ianya adalah majlis untuk meraikan sebuah peluang.
"Peluang bagi menambah pendapatan, memperkukuh perniagaan, mengembangkan kemahiran dan yang paling penting, membina kehidupan yang lebih sejahtera untuk diri dan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Blueprint dan i-SEED di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Rahim Kasdi; Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli serta Penolong Pengarah Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Rahayu Ali.
Pada majlis itu, seramai 27 penerima mendapat bantuan Blueprint bernilai RM226,200, manakala 21 lagi memperoleh bantuan i-SEED berjumlah RM94,500.
Papparaidu berharap bantuan berkenaan menjadi pemangkin kepada perubahan lebih besar, khususnya dalam memperkukuh kedudukan ekonomi penerima dan keluarga.
Sementara itu, Rahayu berkata kedua-dua program berkenaan merupakan antara inisiatif pembasmian kemiskinan Kerajaan Negeri yang memberi tumpuan kepada usaha membantu golongan berpendapatan rendah.

Menurutnya, Kerajaan Negeri telah membelanjakan kira-kira RM2 juta secara keseluruhan bagi pelaksanaan Blueprint dan i-SEED.
“Kami berharap bantuan ini dapat memberikan peluang kepada semua peniaga kecil untuk memperkukuhkan perniagaan, menjana pendapatan yang lebih tinggi dan wajar supaya dapat meningkatkan kesejahteraan hidup,” katanya.
Rahayu berkata Kerajaan Negeri akan meneruskan bantuan seumpama itu pada tahun hadapan bagi membuka lebih banyak peluang kepada golongan berpendapatan rendah meningkatkan taraf ekonomi.









