SHAH ALAM, 4 OGOS: Orang ramai dijemput memeriahkan Festival Kebudayaan Orang Asli Selangor 2026 yang bakal berlangsung pada 9 Ogos ini sempena Sambutan Hari Orang Asal Sedunia.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dalam kenyataan memaklumkan festival yang diadakan di Taman Tasik Milenium, Kuala Kubu Bharu bermula 6.30 pagi hingga 6 petang itu menawarkan pelbagai aktiviti kebudayaan, sukan rakyat dan pameran yang sesuai untuk seisi keluarga.
Majlis perasmian dijadual disempurnakan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama barisan tetamu kehormat.
Antara pengisian menarik ialah Fun Walk dan Fun Run, pertandingan mewarna kanak-kanak, persembahan kebudayaan serta pertandingan nyanyian.
Pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai sukaneka rakyat seperti tarik tali, menyumpit, congkak, batu seremban, boling kelapa dan galah panjang.
Selain itu, festival berkenaan menampilkan pameran, demonstrasi dan jualan hasil kraftangan masyarakat Orang Asli, di samping cabutan bertuah serta penyampaian hadiah.
Menurut kenyataan itu, festival berkenaan menjadi platform untuk masyarakat mengenali dengan lebih dekat warisan, budaya dan keunikan komuniti Orang Asli di Selangor sambil mengeratkan hubungan antara pelbagai lapisan masyarakat.
Orang ramai yang berminat dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan serta menyokong usaha memelihara warisan budaya masyarakat Orang Asli.







