SHAH ALAM, 27 OKT: Penyerahan bantuan Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (i-SEED) 2026 hampir selesai, dengan proses agihan sudah dilaksanakan di lapan daerah setakat ini.
EXCO Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata Gombak menjadi daerah terakhir yang dijadual menerima bantuan itu pada 29 Oktober ini, sekali gus melengkapkan pelaksanaan program berkenaan di seluruh Selangor.
"Inisiatif itu bertujuan membantu usahawan kecil India meningkatkan keupayaan perniagaan, produktiviti dan pendapatan melalui bantuan peralatan yang bersesuaian," katanya pada sidang media penganjuran Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Selangor 2026, hari ini.
Papparaidu berkata program berkenaan turut menjadi antara pengisian sambutan Deepavali peringkat negeri pada 6 November ini menerusi penyerahan replika cek kepada penerima bantuan.

Jelasnya, Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian terhadap usaha memperkasa ekonomi masyarakat India, selain memastikan kebajikan golongan berkenaan terus terbela.
“Kerajaan Negeri akan terus komited memastikan kebajikan masyarakat India diberikan perhatian, peluang ekonomi diperluas dan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan,” katanya.
Selain bantuan usahawan, Papparaidu berkata Kerajaan Negeri buat julung kalinya merancang memberi pengiktirafan khas kepada kuil berdaftar di Selangor sempena sambutan tersebut.
Menurut beliau, pengiktirafan itu sebagai penghargaan terhadap sumbangan institusi keagamaan berkenaan dalam menjaga kebajikan serta memelihara tradisi dan warisan masyarakat Hindu.

"Inisiatif tersebut turut diharap dapat menggalakkan pengurusan kuil yang belum berdaftar supaya melengkapkan urusan pendaftaran dan mematuhi peraturan berkaitan, termasuk hal ehwal tanah serta syarat pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.
Dalam pada itu, Persatuan Silambam dan Kabaddi yang menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 juga akan menerima penghargaan atas penglibatan serta sumbangan dalam bidang kebudayaan dan sukan.
"Pengiktirafan itu antara usaha menghargai peranan pelbagai pihak dalam pembangunan dan kesejahteraan masyarakat India di negeri ini," katanya.
Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Selangor 2026 bertemakan Cahaya Perpaduan, Selangor Sejahtera dijadual berlangsung di Dataran Klang @ Padang Chetty, Klang pada 6 November ini bermula jam 7.30 malam hingga 11.30 malam.









