Oleh Ra Harum
Ilustrasi Muizzah
Kalau aku ini app, Papa sudah lama nyahpasang sebab terlalu banyak ralat.
Masalahnya, Papa sendiri bukannya fasih tentang telefon ini.
Dua minggu lepas, Papa telefon aku pukul 11:43 malam, panik macam telefon dia baru kena ransomware.
“Aidan, kenapa telefon Papa asyik keluar iklan ni? Papa tekan satu benda, dia keluar benda lain.”
Aku tanya, “Papa install apa?”
“Tak install apa-apa.”
Itu ayat rasmi semua kaum bapa Melayu apabila telefon mereka tiba-tiba dipenuhi aplikasi yang, menurut mereka, muncul atas kehendak takdir.
Aku minta Papa buat tangkapan layar. Dia hantar gambar skrin yang penuh app pelik. Cleaner Pro Ultra, Battery Doctor Max, QR Scanner 4K, Muslim Reminder Plus Pro Trial, dan satu app bernama Sakura Wallpaper HD yang ikon dia bunga merah jambu terlalu comel untuk lelaki sejati macam Papa.
“Pa, ni semua Papa install.”
“Papa tak install. Dia masuk sendiri.”
“App tak masuk sendiri, Pa.”
Dia diam sekejap. Lepas itu marah.
“Alah, tolong sajalah.”
Maka aku ajar dia tekan lama-lama, pilih nyahpasang, sah, kosongkan cache, sah, hapus. Hampir empat puluh minit. Muka Papa dalam panggilan video makin tegang, bukan sebab telefon itu berat, tapi sebab dia benci apabila sesuatu yang biasanya boleh dikawal tiba-tiba tidak ikut arahan.
Masa itu aku belum sedar, Papa bukan benci app yang rosak.
Papa benci apa-apa yang tidak boleh dibetulkan sendiri.
Termasuk aku.
Tengah hari hujung minggu itu, Papa ajak aku berjumpa di sebuah restoran Jepun di tingkat atas pusat membeli-belah di Shah Alam. Pada waktu begini, bangunan itu macam akuarium besar kelas menengah Melayu. Mak-mak bertudung bawal warna lembut keluar masuk butik Korea. Ayah-ayah berkemeja batik ketat di pinggang beratur membeli kopi yang namanya buat lidah tergeliat. Budak-budak menangis minta mainan mahal, sementara ibu bapa mereka memesan ramen halal, ayam goreng Korea, pretzel mentega, dan apa-apa sahaja yang nampak cukup global untuk dimuatnaik di media sosial, cukup halal untuk dipertahankan.
Bau bertih jagung, oud, penghawa dingin, karpet, dan kad kredit yang sedang nazak bercampur menjadi satu bau khas: bau kelas menengah Melayu yang mahu nampak tenang, moden, dan masih mampu bayar ansuran kereta bulan depan.
Di sini, semua orang sedang cuba jadi dua benda serentak. Melayu, tapi global. Kampung, tapi kosmopolitan. Berakar, tapi berjenama luar.
Di hadapan restoran susyi halal itu, sebuah keluarga besar sedang menunggu meja kosong. Si ayah berjanggut rapi, si ibu bertudung labuh warna hijau sej, anak-anak mereka ramai macam keluarga bahagia dalam iklan sabun.
Orang Melayu sekarang makan Jepun macam makan Siam. Cuma tomyamnya diganti susyi, dan “sawadee” jadi “irasshaimase” berloghat Lembah Kelang.
Aku duduk seorang diri di meja paling hujung.
Aku sebenarnya tidak tahan duduk di tengah-tengah ramai orang. Bunyi terlalu banyak. Lampu terlalu terang. Manusia terlalu rapat. Dalam kepala aku, semua benda ada suara sendiri. Pinggan berlaga. Mesin konveyor berdengung. Anak kecil ketawa. Telefon orang sebelah tanpa fon telinga. Semua bunyi itu masuk dalam badan aku macam notifikasi yang tidak boleh dimatikan.
Aku tengok telefon.
Mesej aku kepada Papa sudah blue tick. Tetapi tiada balasan.
Papa muncul tepat jam 1:00 petang.
Tepat macam jadual tren Jepun yang dia selalu banggakan, walaupun KTM pun dia jarang naik.
Papa masuk dengan kemeja putih yang nampak macam diseterika oleh Kementerian Pertahanan, seluar slack biru laut, kasut hitam berkilat sampai boleh nampak masa depan yang dirancang untuk anak-anaknya, dan jam tangan mahal. Papa adalah jenis lelaki yang kalau bercakap dalam mesyuarat, kipas siling pun rasa perlu berhenti sekejap untuk mendengar. Bekas pelajar Jepun. Jurutera kanan. Pengerusi surau. Ahli jawatankuasa alumni.
Staf restoran tunduk kecil.
“Selamat datang, Dato’.”
Papa belum dikurniakan Dato’. Tapi auranya memang jenis buat orang panggil dia Dato’.
Dia nampak aku. Matanya turun dari rambut aku yang panjang tidak terurus, ke baju hud hitam, ke denim lusuh, ke kasut kanvas yang sudah patut bersara. Dia senyum sedikit, tapi senyum itu ada nota kaki: Kenapa anak aku macam ni?
“Kenapa duduk hujung sangat?”
“Hujung ni okey.”
“Di tengah tu lagi selesa.”
Jeda.
Dia akhirnya duduk, ambil kertas pesanan.
“Nak makan apa?”
“Gyoza.”
“Gyoza? Itu bukan makan tengah hari.”
“Aidan tak lapar.”
Dia pandang aku lama. “Kau nampak macam tak makan tiga hari.”
Aku senyum sarkastik. “Wow, terima kasih, Papa.”
“Aidan.”
Kalau Papa sebut nama aku macam itu, dia bukan panggil aku. Dia tekan butang amaran.
Dia pesan nabeyaki udon dan ocha panas. Sama macam biasa. Lelaki ultra Melayu yang percaya bangsa mesti berdiri atas kaki sendiri, tapi kalau makan, mesti Jepun. Kalau kerja, mesti kaizen. Kalau hidup, mesti ikigai. Kalau mendidik anak, nadanya macam samurai kecewa.
Aku tak pernah faham kontradiksi itu.
Atau mungkin aku faham sangat.
Di luar restoran, orang lalu-lalang macam sungai manusia. Tiba-tiba seorang pak cik berhenti dan menjenguk.
“Eh, Razak! Lama tak nampak!”
Papa terus bertukar wajah. Senyum automatik. Bahu naik. Dada tegak. Mod masyarakat.
“Ha, Karim! Sihat?”
Pak cik itu pandang aku.
“Anak ke ni? Dah besar. Dah kerja mana sekarang?”
Soalan itu jatuh atas meja macam pisau kecil.
Papa jawab sebelum aku sempat buka mulut.
“Dia tengah… dalam peralihan.”
Peralihan. Aku macam slaid PowerPoint. Dalam jeda.
Pak Cik Karim angguk. “Oh bagus. Anak zaman sekarang banyak pilihan. Tapi kena cepat sedikitlah. Saingan kuat.”
Dia ketawa. Papa ketawa. Aku tidak.
Selepas pak cik itu pergi, Papa hirup ocha panas.
“Tengok?” katanya.
“Tengok apa?”
“Orang tanya.”
“Orang memang suka tanya benda yang bukan hal dia.”
“Itu biasa. Hidup bermasyarakat.”
“Tak, Pa. Itu hidup jadi bahan audit sosial.”
Papa letak cawan.
“Kalau hidup kau teratur, soalan macam itu takkan jadi masalah.”
Aku pandang konveyor susyi. Piring merah, biru, ungu, emas. Setiap warna ada harga. Setiap benda ada kategori. Setiap benda tahu nilainya.
Seronoknya jadi susyi.
Makanan sampai. Udon Papa berasap, cantik, lengkap, macam hidup dia. Gyoza aku kecil, pucat, tersusun di tepi pinggan macam lima idea yang gagal meyakinkan sesiapa.
Papa baca doa makan. Aku ikut. Kemudian dia mula.
“Mama kata kau belum cari kerja baru.”
Aku cucuk gyoza dengan penyepit, pelan-pelan, sampai kulitnya koyak dan intinya terkeluar. Aku tak lapar. Aku terang-terang cuba menyeksa gyoza itu macam apa yang Papa sedang buat pada aku: tekan sedikit demi sedikit sampai bentuk asalnya hilang.
“Aidan belum sedia.”
“Sedia itu perasaan. Kerja itu tanggungjawab.”
“Pa, Aidan kan baru diberhentikan...”
“Kau bukan baru. Dah hampir tiga bulan.”
“Tiga bulan bukan lama kalau otak rasa macam kena langgar lori setiap pagi.”
Papa mengeluh. “Jangan dramatik sangat.”
“Aidan tak dramatik. Aidan sakit, Pa.”
Dia senyap sekejap. Bukan senyap empati. Senyap macam otak tengah muat naik strategi empati.
“Semua orang stres.”
“Haa, itu dia.”
“Apa?”
“Ayat boomer template nombor satu.”
Riak muka Papa tegang.
“Kau jangan kurang ajar.”
“Aidan cakap Aidan sakit mental, Papa jawab semua orang stres. Kalau Aidan patah kaki, Papa akan jawab semua orang pernah terseliuh?”
“Jangan samakan.”
“Sebab yang satu nampak, yang satu lagi memalukan?”
Papa memandang sekeliling. Refleks. Pastikan tiada orang dengar. Tiada jiran. Tiada ahli surau. Tiada bekas anak murid. Tiada orang yang boleh bawa cerita pulang ke seksyen masing-masing.
Itu yang buat aku sakit lebih dalam.
Bukan sebab Papa tak faham.
Sebab Papa takut orang lain tahu dia tak faham.
Dia rendahkan suara.
“Papa cuma tak mahu kau terus tenggelam. Kau ada potensi. Kau dulu pandai. Along sekarang doktor pakar. Angah rakan kongsi firma guaman. Adik kau baru dapat biasiswa. Semua orang ada jalan. Kau pun ada jalan dulu.”
Dulu.
Aku benci perkataan itu.
Dulu aku bijak. Dulu aku banyak potensi. Dulu aku ada masa depan. Dulu aku bukan masalah keluarga.
Sekarang aku macam app yang makin rosak setiap kali cuba dikemas kini.
“Adik-beradik Aidan semua macam aplikasi yang dilancar terus berjaya,” aku kata perlahan. “Aidan versi percubaan yang tiap kali dibuka, keluar ralat.”
“Jangan cakap benda bodoh.”
“Tapi itu yang Papa fikir, kan?”
“Papa fikir kau perlu bangun.”
“Aidan bangun tiap hari, Pa. Itu pun dah kerja berat.”
“Bangun yang Papa maksudkan bukan sekadar buka mata.”
“Aidan tahu. Bangun, mandi, cukur, pakai baju, kerja, senyum, perform, bayar bil, kahwin, beli rumah, jangan malukan keluarga. Kan?”
Aku ketawa kecil, pahit.
“Macam telefon Papa hari tu. Bila app banyak ralat, Papa panik. Tak boleh buka, tak boleh tutup, iklan keluar, bateri cepat habis. Papa nak nyahpasang semua sebab telefon jadi makin berat.”
“Apa kaitan?”
“Kaitannya… Aidan rasa macam app tu.”
Papa diam.
Aku sambung, suara aku makin laju walaupun tangan mula menggigil.
“Along lancar. Angah lancar. Adik pun lancar. Semua ringan, semua berguna, semua buat Papa nampak macam bapa yang berjaya. Aidan? Aidan lag, Aidan crash, Aidan makan storage, Aidan keluarkan notifikasi pelik waktu malam. Aidan buat telefon keluarga jadi berat. Jadi mungkin Papa nak tekan lama-lama dekat Aidan dan nyahpasang.”
“Aidan.”
“Tapi Aidan bukan aplikasi, Pa. Papa tak boleh tekan lama-lama, pilih hapus, kemudian lega sebab ruang dah kosong. Tak ada clear cache untuk malu Papa. Tak ada tetapan kilang yang boleh pulangkan Aidan jadi anak yang Papa ingat dulu.”
Papa memandang aku dengan muka yang aku jarang lihat. Marah ada. Terkejut ada. Tapi di bawah semua itu, mungkin takut.
Aku tarik nafas. Restoran itu tiba-tiba terlalu terang.
Di meja sebelah, seorang ibu menyuap susyi kepada anak kecil. Di belakang kami, dua remaja bertudung ambil gambar yuzu matcha. Di luar, Shah Alam terus hidup. Orang beli tudung, beli minyak wangi, beli kasut, beli identiti. Semua orang nampak okey kerana semua orang tahu cara nampak okey.
Aku sudah penat nampak okey.
“Kau fikir Papa nak buang kau?”
Aku pandang dia.
“Papa mungkin tak cakap macam tu. Tapi setiap kali Papa bandingkan Aidan dengan Along, Angah, Adik… setiap kali Papa pandang Aidan macam Aidan ni ada kecacatan. Ya, Aidan rasa macam tu.”
Dia telan air liur.
“Papa malu,” aku kata.
“Papa tak malu.”
“Papa malu jiran tanya tentang hidup Aidan.”
“Itu sebab Papa risau.”
“Risau orang nampak Aidan gagal?”
“Risau kalau Aidan betul-betul gagal!”
Ayat itu keluar kuat sedikit. Meja sebelah senyap satu saat. Papa perasan. Nampak rahang Papa macam tengah ketap gigi.
Aku senyum. Kalau aku tak senyum, aku mungkin menangis, dan aku tak nak menangis depan susyi.
“Terima kasih. Sekurang-kurangnya Papa jujur.”
Papa menggosok dahi.
“Kau ingat senang jadi Papa? Papa bina semua dari kosong. Papa kerja sampai malam. Belajar di Jepun, makan nasi dengan telur sebab duit tak cukup. Kerja cuci onsen, cuci pinggan. Balik Malaysia, mula dari bawah, naik satu-satu. Papa tak ada masa untuk jatuh lama-lama macam kau sekarang.”
Aku pandang dia lama.
“Mungkin Papa pun pernah jatuh, Pa. Cuma Papa tak pernah benarkan diri Papa rasa sakit. Papa terus kerja, terus kejar pangkat, terus kemas hidup sampai semua orang nampak Papa kuat. Tapi mungkin itu bukan sembuh. Mungkin itu cuma cara Papa sembunyikan luka.”
Dia tersentak.
Bunyi konveyor terus bergerak. Piring susyi lalu depan kami macam bukti bahawa dunia tak peduli dua beranak sedang runtuh perlahan-lahan.
Kemudian Papa berkata, perlahan, “Zaman Papa, kalau kau jatuh, kau bangun. Tak ada orang tanya kau okey atau tidak.”
“Aidan tahu.”
“Sebab itu Papa tak tahu nak tanya macam mana.”
Aku tak sangka ayat itu.
Untuk beberapa saat, aku tak ada jawapan.
Papa tenung mangkuk udon.
“Bila app rosak,” katanya, kaku, macam sedang cuba guna bahasa aku, “Papa memang nak buang. Sebab Papa tak faham. Takut telefon rosak semua.”
Aku diam.
“Tapi Aidan bukan app.”
Dia menyebut ayat itu dengan susah, macam setiap perkataan perlu ditolak keluar dari dada.
“Aidan anak Papa.”
Aku ketap bibir.
Dia capai beg kulit hitamnya, keluarkan sampul putih, letak di sebelah pinggan gyoza aku.
“Ini untuk doktor. Untuk terapi. Untuk apa-apa yang Aidan perlukan.”
“Papa faham ke apa yang Aidan sedang lalui?”
Dia menghela nafas.
“Papa tak faham. Tapi…”
Dia berhenti sekejap.
“Mungkin Papa boleh belajar,” katanya perlahan. “Bukan terus faham. Bukan hari ini juga. Tapi Papa boleh cuba.”
Ayat itu kecil. Tapi dari mulut Papa, ia seperti pintu besi yang akhirnya terbuka satu inci.
Papa tidak minta maaf. Papa tidak peluk aku. Papa tidak tiba-tiba jadi ayah dalam iklan Hari Raya. Tapi untuk lelaki yang seumur hidupnya percaya semua benda boleh diselesaikan dengan kerja keras, diam, dan jalan terus, pengakuan bahawa dia boleh belajar daripada anaknya adalah satu runtuhan yang sangat besar.
Dia bangun, susun penyepit dengan kemas. Masih lurus. Masih terkawal. Masih Papa.
Cuma kali ini, kawalannya tidak lagi terasa seperti tembok. Ia terasa seperti orang yang baru belajar membuka pintu tapi tak berani mempelawa masuk.
Sebelum pergi, dia pandang aku sekali lagi.
“Aidan.”
“Ya?”
Papa diam sekejap, mencari perkataan yang bukan milik generasinya.
“Kalau hidup kau rasa macam penuh ralat…” katanya perlahan, “jangan padam diri kau.”
Ayat itu janggal. Sangat Papa. Macam nasihat yang diterjemah terus daripada manual telefon.
Tapi mungkin sebab itulah ia menusuk. Dia sedang cuba bercakap dalam bahasa aku, walaupun lidahnya masih tersangkut pada dunia lama.
Papa berjalan keluar, tunduk sedikit mengelak noren merah. Staf restoran tunduk dan berseru serentak:
“Arigatou gozaimashita!”
Aku duduk seorang diri, memandang sampul putih di sebelah gyoza yang sudah sejuk.
Konveyor susyi terus berpusing.
Di luar, Shah Alam terus bergerak dengan semua ironi kecilnya. Melayu makan Jepun, ayah ultra Melayu pakai jam Seiko, anak-anak Gen-Z bercakap tentang healing dalam pusat membeli-belah yang penuh mata menilai, dan semua orang cuba nampak normal walaupun dalam kepala masing-masing ada app yang meralat tanpa henti.
Aku ambil telefon. Buka mesej kepada Papa.
Lama aku taip.
Padam.
Taip lagi.
Akhirnya aku hantar satu ayat saja.
Arigatou, Pa.







