Lautan Terjal Menuju Gaza

22 Ogos 2026, 12:30 AM
Lautan Terjal Menuju Gaza

Oleh Zainal Rashid Ahmad

Ilustrasi Muizzah

Bintang mana satu yang akan memandu nalurimu ketika gelapnya laut Mediteranean menjadikan matamu terpasung kelam?

Bulan Mei masih bercuaca dingin. Adakalanya lautan berkabus sehingga matamu tak dapat melihat apa-apa, sekalipun pada jarak sejengkal dari tiang layar yang menirus.

Apa mendebarkan hatimu? Tentulah kebimbangan kalau berlaku pelanggaran; 55 bot layar berada di mana-mana. Kau hanya mampu melihat skrin Garmin, aplikasi pengesan kedudukan. 

Kabus melenyapkan pandangan daripada sisa bawaan ombak seperti kayu atau kontena yang terjatuh dari kapal dagang. Matamu berjaga-jaga tapi takkan berdaya melihat apa-apa bahaya.

Merentas pesisir Sardinia, Itali dan menuju tebing Crete, Greece, kabus menggusarkan semua pelayar.

Apa lagi ini kawasan serangan dron. Langit gelap berkabus menjadikan dron Israel lebih mudah menyusup, entah tiba-tiba berada di puncak tiang layar, meledakkan bom pegun.

Pelayaran tahun lalu, Crete meninggalkan ingatan: 12 bot Flotilla rosak layarnya diserang bom pegun! Crete menjadi laluan dron Israel dengan dua serangan sampai ke pantai Tunisia.

Kau cemaskah?” Tanya Ricardo tiba-tiba.

“Ya.” jawab saya. “Sebab kabus menghalang kita melihat lampu dron. Tahun lalu, botku Lady Bark musnah layarnya terkena stun grenade di sini.”

Ricardo lelaki Hungary, pekerja pelabuhan, pertama kali belayar ke Gaza. Aktivis yang membantah dasar bekas Perdana Menterinya - Victor Orban yang pro-Israel. Walaupun dua minggu sebelum berlayar negaranya mendapat Peter Magyar sebagai pemimpin baru, Ricardo tetap pesimis.

Aku orang Hungary yang lama di Sepanyol.” Katanya. “Jiwaku lebih dekat dengan orang Catalan yang pro-Palestin berbanding sikap bangsaku sendiri.”

Saya mendengar, mata tetap liar mengawas. Ricardo mengendalikan stereng bot. Tanggungjawab saya, memantau ruang udara.

“Rasanya kabus akan lenyap sebentar lagi,” kata Ricardo.

Hanya kami berdua bertugas di dek malam itu. Kapten Daniel, warga Jerman, Cameron warga Australia dan Jaheet warga UK, sedang tidur. Mereka bertugas pukul 4 pagi. Kami bertukar syif setiap empat jam. Itu aturan Kapten Daniel.

Kau takutkah?” Tanya Ricardo lagi. Dia ketawa melihat saya tertinjau-tinjau ke kiri dan kanan langit.

Aku sudah ditahan tahun lalu,” jawab saya tenang, cuba mengingatkan Ricardo, ketakutan bukan isu. “Ini kawasan ancaman... kena berjaga-jaga.”

Kau takkan nampak dron,” Ricardo cuba melucu. “Dalam kabus tebal... dron juga takkan nampak kita.”

Ricardo ketawa lagi. Sejak hari pertama berlayar dari Barcelona, dia memang suka bersenda. Ketawa dan ngekeknya lebih kuat kalau diulang-ulang maki hamunnya terhadap Israel.

Saya tak dapat menulis butir caciannya dalam cerita ini. Celaannya penuh dengan kata-kata yang sangat kesat.

MALAM DISERANG

29 Mei 2026 - Senja tak lagi berkabus. Dua hari merentas perairan Iolana, masih terlalu jauh dari hujung Crete. Kami habiskan waktu merentas Sardinia dengan duduk di dek, menikmati teh lewat petang. 

Senja perlahan-lahan melenyap. Bias bulan dan kemilau bintang cukup untuk melihat langit. 

Suasana menghirup teh tiba-tiba tersusup bunyi getaran perlahan di langit.

Kapten!” Kata saya. “Lihat... ada octadron.

Kami berlima bangun, mendongak. Jelas, dron enam kipas melalui ruang udara. Sangat rendah sehingga bunyi kipasnya menderu masuk ke telinga.

Bot-bot layar berangkat serentak dari Catania, bergerak berjarak-jarak, tapi radio komunikasi berdesas-desas dengan panggilan demi panggilan di saluran 72; saluran komunikasi khas antara 55 bot yang sedang berlayar.

Dron di atas... dron terbang rendah... ada dron di udara!”

Segala macam kata-kata amaran dikongsi oleh kapten dan kru yang mengesan lintasan dron.

Kita masih 660 batu nautika dari Gaza,” kata Kapten Daniel. “Terlalu jauh untuk si laknat menyerang!”

Rutinnya ‘garis kuning’ zon persediaan bahaya menuju pantai Gaza masih sekitar 300 batu nautika jaraknya. Manakala, ‘garis merah’ mendekati jarak bahaya dihendap tentera haram sekitar 150 batu nautika dari pantai jazilah.

Sejak pelayaran pertama 2007, belum ada sejarah bot Flotila diserang sejauh ini.

Dalam lima minit, bunyi dron berlalu pergi. Langit sudah gelap pekat. Belum sempat bernafas lega, kami dikejutkan suara Kapten Hazwan dari bot Bianca, “Tiga bot binatang sedang mendekati kami. Roger!

Bot binatang ialah kata kunci kepada tentera zionis.

Saya terus mencapai teropong. Kebetulan bot Bianca dengan tujuh pelayar berada di belakang kami. Lensa teropong melihat samar bot-bot laju musuh menuju ke kapal yang ada empat kru Malaysia.

Sah!” Jerit saya menyerahkan teropong kepada Jaheet.

“Empat bot semuanya,” balas Jaheet.

Belum sempat kami maklumkan hasil intipan teropong, semua komunikasi radio bot-bot pelayar senyap; tanda terputus. Kami lihat internet; juga terputus. Tidak lama kemudian, dua bot musuh meredah kegelapan, melaju ke arah kami.

Cepat,” kata Kapten Daniel.

Cameron yang tadinya di bawah, meluru naik ke dek.

Pecut dan langgar! Kalau mereka dekati!” Cameron di sisi Kapten Daniel, menepuk bahunya untuk memecut bot.

Saya berada di belakang dek, bertinggung dan berada di sisi paling jelas dengan bot yang mengejar kami. Malah, nampak jelas bot pertama yang agak besar dengan enam tentera zionis. Dua anggotanya siap menghalakan senapang ke arah kami.

Pecut! Pecut!” Jerit Cameron berkali-kali.

Dalam pecutan hampir tujuh knot, tiba-tiba berdentum hentakan. Bot kami sedikit menyenget dilanggar bot getah zionis. Saya masih stabil dan cuba merakam video. Tapi, gugahan muncung senjata zionis menjadikan saya mula waspada.

Walaupun bertopi besi, jaraknya sangat dekat sehingga saya jelas melihat wajah enam komando laut jahanam yang masih muda dengan riak sedia melepaskan tembakan pada bila-bila masa. Salah seorangnya, wanita. 

Siren bot musuh mulai nyaring. Lampu menyilau ke arah bot layar kami ditambah serakan laser hijau merayap laju dari tubuh ke tubuh kami berenam. Itu tanda senjata siap untuk menembak.

DITANGKAP MASUK KAPAL PENJARA

Akhirnya, empat tembakan dilepaskan. Satu di paha Kapten Daniel. Dia melompat lalu bersandar ke tali pemidang belakang bot, meraung kesakitan. Stereng bot kini tak berpemandu. 

Cameron terus memperlahankan enjin kerana terkejut melihat tubuh Kapten Daniel melorot jatuh. Saya pula benar-benar bimbang kerana ada bau hangit. Saya tahu peluru sudah membakar kulit atau daging kapten bot kami.

Setelah bot berhenti tentera jahanam melompat ke dek. Kami berenam sudah ‘duduk tanda aman’. Amalan latihan sebagai tanda bahawa misi ini berniat keamanan dan kami tidak bersenjata. 

Komando jahanam melompat ke bot dengan tingkah ganas. Tiga empat hentakan kena ke tubuh Cameron, tanda musuh tahu jeritannya yang mengarahkan bot dipecut.

Walaupun Kapten Daniel sudah melorot di lantai, dia tetap dihentak. Saya di sudut tercorot hanya diacukan senapang tepat ke muka dengan laser hijaunya terasa melekat tepat di dahi.

Kami ditahan dalam kabin bot, melalui soal jawab yang panjang, beberapa kali dihentak, disepak serta ditampar sepanjang lebih 30 minit siasatan.

Akhirnya, kami berenam digari dengan kabel, diseret ke bot musuh dan disuruh bertinggung dengan tangan terikat ke belakang. Sakit dan lenguhnya bukan kepalang. Tulang lengan yang dikepak ke belakang terasa ngilu. Pergelangan tangan mula kebas kerana diikat ketat.

Bot musuh dipacu. Dari jarak 100 meter, kapal agam dengan lampu limpah, menyala seperti stadium bola sepak. 

Laut yang gelap kini benderang. Tahulah kami, kapal Israel dalam gelap, ketika dron melintas, sebenarnya sudah melaut jauh senyap-senyap dan berada di tengah ‘fleet’ konvoi Flotilla. Mereka menyusup lebih awal dan sampai di pesisir lautan antarabangsa, antara garis pantai Itali dan Greece.

Kami diseret dari bot ke kapal - ada yang dihentak belakang senapang ketika menaiki tangga kapal, disambut sepak terajang serta tumbukan oleh tentera Israel yang menanti di dek besar. Semua ini alamat jelas - kami sedang memasuki penjara kapal tentera Israel!

Semua 182 kru dari 22 bot telah ditawan. Baki 33 bot tidak ditahan. Hanya dengan enam bot penyergap, komando zionis tak mampu memintas semua bot Flotilla.

Setelah diperiksa dan diminta menanggalkan baju dan seluar tebal, dengan sisa pakaian nipis, kami diseret ke penjara yang diperbuat daripada kabin kontena. 

Tanpa baju tebal, kami menderita menanggung kedinginan di laut Mediteranean pada suhu 16 darjah selsius. Angin dingin musim bunga juga sangat tajam menikam pada waktu malam.

Segala maki hamun dilemparkan tentera musuh dan raungan kesakitan tahanan yang dibantai terdengar di sana-sini. Lapan kontena kabin disusun di dek kapal membentuk petak penjara dengan laman sempit. Inilah penjara kapal yang sejak tahun lalu diperkatakan.

Kau okeykah?” Tanya saya melihat Kapten Daniel duduk tersadai di lantai, bersandar pada dinding kabin.

Dia hanya memakai seluar nipis penahan angin. Kelihatan luka sepanjang dua inci kehitam-hitaman di paha. Ada tompokan lebam di sekeliling koyakan pahanya.

Peluru getah,” jawabnya “tapi, sangat menyakitkan.”

Saya duduk di kawasan lapang. Susunan dua kabin 40 kaki membentuk dinding penjara. Manakala dua blok kabin 20 kaki melunjur, melengkapkan empat segi penjara terbuka.

182 kru Flotilla disahkan dalam kiraan. Thiago Avila dan Saif Abukeshek juga ada. Barulah saya sedar, tentera haram menyerbu awal di kawasan luar jangka kerana mahukan dua pemimpin utama dan penggerak Flotilla yang aktif sejak 2012, antara 30 nama senarai buruan Tel Aviv. Israel mahukan kedua-duanya sebagai tangkapan, sebagai bahan pembantaian.

Strategi asal, mereka berdua hanya memimpin misi dari Itali ke Turki. Tidak akan sampai ke Gaza. Terutama Saif yang disenaraikan sebagai Hamas.

Malam itu, kami dengar Saif meraung dalam kurungan berasingan, tanda dibantai habis-habisan. Keesokan pagi, Saif yang masih dikurung sudah berhenti meraung.

Tapi, dalam gelap subuh, Thiago diseret ke bilik kurungan kerana memimpin protes beramai-ramai sepanjang malam. 

Lebih 50 aktivis pimpinan Thiago berteriak di ruang lapang penjara kapal, menyeru pembebasan Saif. Saya sudah keletihan, hanya terbaring bersama-sama rakan-rakan Malaysia dan puluhan aktivis lain yang tak berdaya lagi berdiri menjeritkan protes.

Bebaskan komrad kami!”

Bebaskan Palestin dari lautan ke sungai!”

Lagu-lagu popular pro-Palestin bergema sepanjang malam, tanda bantahan.

ROTI KERAS

Kepungan kabin yang membentuk petak penjara menjadikan kami tidak dapat melihat lautan, hanya langit memutih, tatkala mendongak.

Tikaman dingin udara malam terasa menembus tulang. Itu tujuan pihak tentera merampas baju tebal. Penderaan akan berlaku sendiri dengan membiarkan tahanan menanggung kesejukan dalam pakaian nipis. Ramai tahanan meringkuk dalam kontena melawan tekanan cuaca.

Mana-mana yang mahu meneruskan mogok lapar, silakan!” kata Catherine aktivis senior, mengendalikan keadaan apabila Thiago dan Saif dikurung. 

Pada waktu malam, tentera Israel membasahkan lantai kapal di kawasan penjara supaya kedinginan lebih menyeksa.

Lapan kontena tak mampu menampung 182 tahanan untuk tidur serentak di dalamnya. Ada yang berkorban, berdiri di ruang lapang, mendedahkan diri kepada kesejukan.

Pada tiap penjuru penjara, di atas dek hadapan dan belakang, tentera zionis bergilir-gilir mengawal menara. Senapang dan meriam air sentiasa dihalakan ke arah kami.

Makanlah,” saya memujuk kawan-kawan mengunyah roti keras yang dilemparkan dalam keadaan baru dikeluarkan dari peti sejuk beku.

Satu cara penyeksaan supaya roti bulat leper itu lebih keras dan sukar dimakan.

Makan untuk kesihatan,” kata saya. “Tak tahu berapa lama kita akan dikurung.”

Siang pula, matahari membahang dan wap laut memanas. Di luar kabin, terasa terbakar ubun-ubun. Kalau duduk di dalam kabin, dinding besi tebal meruap haba seperti berada dalam periuk gelombang mikro.

Kami lalui tanpa sedikit pun rasa takut. Di laman penjara, sesekali rakan tahanan menjeritkan slogan pro-Palestin. 

Kemudian, bersusul tembakan peluru getah. Semua yang berkumpul di laman berselerak lari masuk ke kabin. Ada yang jatuh menggelupur di lantai, cedera terkena tembakan. Tapi, begitulah perlawanan bagi yang tak pernah mahu berasa kalah.

Aktivis Sepanyol, Itali, Perancis dan UK sudah terbiasa. Sejak Gaza diserang, mereka sudah bertempur dalam begitu banyak siri demonstrasi jalanan. Dari London ke Rom, dari Stockholm ke Barcelona. Dari Paris ke Berlin.

Lebih 60 bandar Eropah adalah kota protes yang berganti-ganti menjadi hos perhimpunan anti genosid. Tubuh aktivis Eropah sudah lasak menerima pukulan, tembakan peluru getah dan meriam air. Semuanya seperti satu permainan.

Kita akan teruskan protes,” kata kawan-kawan dari Eropah pada malam kedua.

Mereka memang pelawan sejati. Tak pernah takut, sekalipun sudah melalui 24 jam tembakan, diseret ke bilik berasingan dan dibantai.

Itulah yang saya lihat sejak kali pertama menyertai Flotilla musim panas 2025 - hati keras aktivis Eropah.

Esoknya, akibat protes, dua lagi tahanan cedera termasuk seorang wanita yang terkoyak pahanya ditembak peluru getah.

Sebahagian peluru menggunakan bungkusan geguli. Walaupun tidak melukakan, tembakan jarak dekat mengakibatkan tubuh lebam-lebam. Kesakitan menjadikan tahanan merentan sepanjang hari.

Lukanya dah bernanah,” kata Doktor Jihan merujuk wanita tersebut.

Doktor Jihan, tahanan Malaysia yang berkhidmat sebagai aktivis perubatan. Dia tabah merawat mereka yang luka, berjaga sepanjang malam memerhatikan tahanan yang kedinginan, dan membantu mereka yang mengalami hipotermia.

Doktor memang membanggakan saya sebagai orang Malaysia,” kata saya.

Doktor Jihan, aktivis muda kelahiran Terengganu, lama berkhidmat di Hospital Tawau. Tanpa kasut, kerana terpaksa ditanggalkan di bot layar ketika dipaksa tentera Israel supaya cepat bergerak, dia membungkus kakinya dengan beg plastik bagi mengelakkan cuaca sejuk.

Bangun…" pujuknya. “Harus berjalan supaya suhu badan tidak rendah dan terkena hipotermia.” Lembut suaranya memujuk tiap kali melihat tahanan terbaring atau meringkuk kesejukan, tanda-tanda awal hipotermia.

Semua ini dilalui sepanjang tiga hari dua malam di penjara terbuka kapal tentera haram. 

Suatu pagi sekawanan camar terbang di langit. Tahulah kami kapal mendekati daratan. Kami tak pasti jika kami tiba di Ashdod, Tel Aviv. Ada khabar angin, kami akan dilemparkan ke pantai Greece.

Banyak tubuh menyusut, setelah hampir 20 hari berlayar dan tiga hari dalam kurungan.

Akhirnya, kami dibuang di pantai Atherinolakkos, Greece. 

Peserta yang cedera dan luka-luka dibantai ketika ditahan mula dipindahkan dari kapal ke bot Pengawal Pantai Greece. 

Lega apabila melihat pantai pada jarak 200 meter. Tiada pelabuhan. Kami dibuang entah di teluk mana di kawasan selatan Lasithi.

Hanya 180 dibebaskan. Thiago dan Saif tidak kelihatan. Di pantai, protes diadakan mendesak pihak Greece membantu pembebasan mereka. Tapi kapal zionis sudah pergi.

Dari pantai berbatu terjal, kami dibawa dengan bas imigresen Greece, entah ke mana. Hampir separuh jalan tiada penjelasan.

Shuib, aktivis Turki berdarah Palestin menjerit, menyeru kami memberontak daripada melarikan diri. Kami merempuh kepungan dan mula berjalan kaki.

Shuib bertanyakan arah jalan kepada penyokong Flotilla dari Crete yang datang menyambut kami di jalanan. 180 aktivis berarak di sepanjang jalan sambil menyanyikan lagu-lagu protes. Kami  menuju ke Lapangan Terbang Heraklion. 

“Pasukan bantuan dari kedutaan Turki menanti kamu semua di sana,” kata aktivis Crete.

Hampir sejam mendaki jalan raya berbukit dan berbelok, kami tiba di Heraklion. Selesai satu perjalanan dari Barcelona ke Catania, cuma sebaik sahaja meninggalkan Itali, kami dipintas.

“Kita takkan balik ke KL,” kata saya.

Kami nekad, setelah sampai di Istanbul, semua sepuluh aktivis Malaysia yang ditahan akan meneruskan pelayaran.

Dari Istanbul kami nekad ke Marmaris di selatan Turki, meneruskan pelayaran, menumpang 15 kapal dengan 80 aktivis Turki yang sedang menanti. Kami akan bergabung dengan 23 kapal dari Itali yang gagal dipintas tentera Israel pada 1 Mei di Crete.


Kategoriseni budaya

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.