Seorang Gagak 

6 Sep 2026, 12:30 AM
Seorang Gagak 

Oleh Airul Affendi Ali

Ilustrasi Muizzah

Benar, aku sudah menjelma gagak. Susuk yang paling aku dambakan selama ini. Menjadi makhluk bersayap, bebas di udara dan tidak lagi terkurung dalam tubuh manusia. 

Tiga titik darah dari jariku telah terbaring dan kering di atas lembaran perjanjian antara aku dan gagak. Isinya, hanya kami yang tahu. Tetapi ada syarat dipertaruh. 

Ketika sedar jam tiga pagi, bulu-bulu hitam sudah lebat tertanam di tubuhku. Tubuh lelaki dewasaku juga mengecil begitu cepat. Paruh tumbuh menggantikan hidung. Terasa beban bertenggek di wajah. Kesakitan menjalar ke seluruh tubuh ketika tulang-tulang berubah bentuk. Bunyi patah riuh menjadi alunan muzik rock dalam tubuhku. Tidak mengapa. Ini hanya hal kecil. 

Walaupun cuma sehari, sekurang-kurangnya aku bebas terbang di langit kota raya, liar di mana-mana atap, dahan atau berpeleseran di kaki lima. Oh ya, hal-hal kehidupan harian sebagai manusia telah aku senaraikan untuk seorang gagak.

Senarai Aktiviti Harian Sebagai Manusia:

  1. Punch card sebelum jam lapan pagi. (Selalunya gagal kerana beluncas elektrik tidak pernah tiba di stesen mengikut janji yang terpampang di setiap skrin LED)

  2. Mesyuarat harian setiap pagi. (Aku letakkan sebagai senarai paling dibenci. Setiap hari pengurus membebel perkara sama selama dua jam. Hanya tinggal enam jam waktu bekerja. Akhirnya dia, terus membebel pabila kerja tidak dapat disiapkan sebelum jam lima petang. Sumpah seranah selalu bergumpal di bibirku selepas dimarahi pengurus).

  3. Berurusan dengan jabatan kerajaan. (Ya ampun. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa seksanya menanti maklum balas daripada pegawai-pegawai ini. Tidak perlu kutulis butirannya. Faham-faham saja. Tapi bukan semua begini).

  4. Menemani tunangku makan tengah hari. (Soalan makan di mana, nak makan apa, sudah jadi zikir di bibir kami berdua. Setiap kedai yang aku cadangkan, ada saja yang tidak kena di mata dan mulutnya).

  5. Berebut-rebut menaiki komuter pulang ke rumah. (Tuhan saja yang tahu keadaan dalam perut beluncas elektrik itu. Semua pekerja yang sudah lunyai di pejabat menghenyak pula sesama sendiri di dalamnya. Bau badan adalah dosa sekalian anak Adam. Ya ampun. Hamis, hanyir, tengik. Ada juga yang melepaskan gas berbau telur tembelang. Senyap tetapi berbisa. Hijau muka menahan ‘aroma’ ini).

  6. Menjawab mesej tunangku. (Waktu sebelum mata melabuhkan tirainya, mesej tunangku membuat otak kiri dan kanan tidak mahu lagi berfungsi. “Kalau I jadi cacing, you jadi apa?” Kalau jawab jadi ayam, tunangku akan kena makan. Jawab jadi ikan, tetap jadi pemangsa. Jawab saja jadi tanah, biar cacing menebuk tubuhku hingga lumat).

  7. Bermimpi. (Ya mimpi indah tetapi meletihkan).

Pagi ini paling indah sesudah memakai mata gagak. Matahari seperti kekasih, bangun, datang mengejutkan lenaku yang panjang. Tetapi, di dunia manusia, kekasih seperti tunangku suka menyarung topeng bengis matahari. Teriknya membakar hingga ke hulu hati.

Aku sudah bertenggek di dahan pokok akasia di Jalan Gasing. Dada lentik ke depan. Paruh berkilat dan bulu lebat. Terasa seperti gagak dalam filem The Crow.

Kelibat manusia berkeliaran seperti semut mula kelihatan. Semuanya tergesa-gesa. Hidup di kota ini sentiasa diburu masa. Jika lewat, kita bakal ditawan. Lebih teruk dihukum oleh waktu. Gagal.

Kata gagak yang memberi pinjam tubuhnya, lima senarai aktiviti harian juga sudah dia sediakan. Aku hanya perlu ikut sahaja. Semuanya sudah disusun sehingga malam. 

Senarai Aktiviti Harian Gagak:

  1. Bersiul di atas wayar elektrik di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. (Ini perkara mudah). 

  2. Mencari makanan. Mata perlu tajam memandang jalan tar atau longkang di bawah. Mungkin terdapat bangkai haiwan yang boleh dibuat lauk.

  3. Terbang melintasi Jalan Ampang di antara bangunan milik Lembaga Getah dan KLCC. (Wah, ini pasti menyeronokkan).

  4. Pulang ke Jalan Klang Lama melintasi kilang tayar berhampiran Taman Dato’ Harun. 

  5. Mengawan. (Oh ya, mereka juga seperti manusia. Bernafsu).

Lima perkara saja? Mudah sangat hidup sebagai gagak berbanding manusia. Apa yang lebih penting, akan aku nikmati sepuas-puasnya hari aku menjadi gagak. 

Ayuh!

Dari jauh kelihatan kawanan gagak sedang berbaris di atas wayar elektrik. Mataku singgah di ruang kecil di hujung wayar berhampiran tiang yang setia berdiri dari tahun bila pun aku tak pasti. Baru sahaja cengkamanku berlabuh, beberapa gagak lain sudah mula memandang dan bersiul-siul sesuatu kepadaku. Ahh… Aku bukannya faham. Apa yang mereka siulkan? Atau aku patut bersuara seperti mereka? 

Arkkk… Arkkk… Aarkkk...

Tiba-tiba semua gagak memandangku. Gemuruh mula menggeletek di paruh. Kaki menggigil. Renungan mereka tajam dan tepat ke mataku. Salah cakapkah aku? 

Seekor gagak terbang dan mematuk kepalaku dengan keras. Dia berbunyi lagi. Kali ini sayapnya mengisyaratkan sesuatu. Oh… Baruku faham. Bunyi yang aku keluarkan tadi seolah-olah seperti ini "Selamat pagi wahai gagak hitam yang hodoh". Kesilapan hari pertama sebagai gagak. Maafkan aku wahai gagak sekalian.

Gagak yang mematuk kepalaku datang lagi. Kali ini semakin dekat semakin rapat. Di wajahnya menjelma rupa seorang wanita lewat 50-an yang sudah kedatangan simptom menopaus di pejabat manusiaku. Keningnya tinggi mencanak seperti wanita itu dalam keadaan marah.

Oh tidak. 

Takkan di dunia gagak juga wujud kekejaman bos di pejabat manusia. Aku mahu terbang, tetapi sayapku tiba-tiba kaku. Tindak balas sama ketika di pejabat apabila dimarahi wanita tua itu. Takkan aku harus diam begini. Lebih baik aku pura-pura pengsan dan jatuh menjunam ke atas asfalt panas. Biar konflik ini terkubur dalam fikiran sahaja. 

Setelah beberapa jam bertenggek di wayar elektrik, matahari mula berwajah garang. Terik dan terasa disalai hidup-hidup. Kalau di pejabat, sudah pasti aku menikmati udara seperti di Antartika. Sejuk hingga tulang sumsum. 

Kuterbang dan singgah di atas sebuah kereta Myvi. Perut tiba-tiba berbunyi. Tiba masanya mencari makanan. Ini aktiviti kedua dalam turutan senarai. Bangkai-bangkai mungkin ada di atas jalan tar, di timbunan sampah atau lebih premium dalam pinggan di kedai mamak.

Aku lihat ada bangkai tikus digilis kenderaan. Aku perlu bertindak segera. Pantas kulonjak kaki dan membuka sayap. Luncuran stabil dan laju. Seronok. Mataku tetap memandang tikus yang terbaring. Badannya kaku. Tiada pergerakan turun naik di perut. Sah mati.

Kilat kuku dan cengkaman maut aku persembahkan. Bangkai itu pasti milik aku. Tiba-tiba ada makhluk berkaki empat pantas berlari menyambar tikus itu dan hilang sekelip mata. 

Oyen... Kurang ajar!

Entah dari mana datangnya kucing ini. Dia lebih pantas daripada aku. Rupa-rupanya dunia burung juga satu pertarungan, satu perlumbaan. Lebih dahsyat bukan saja sesama burung, tetapi ada juga pencabar daripada makhluk lain. 

Haish... Gagal lagi aku kali ini.

Oh, ak u perlu lakukan aktiviti ketiga. Kali ini aku fikir lebih menyeronokkan. Meluncur menelusuri Jalan Ampang, dari lubang-lubang di bangunan Lembaga Getah menuju ke balkoni mewah milik KLCC. 

Jalan Ampang tidak pernah tidur. Kenderaan berderu seperti semut pulang ke sarang. Bau petrol dan diesel betul-betul mewah di sini. Semewah harganya seliter di pasaran. Ah... Pedulikan saja. Ayuh luncur. Misi kali ini lebih menyeronokkan. 

Dari lubang di bangunan Lembaga Getah, kujatuhkan tubuh dengan lonjakan paling padu. Tubuhku menjunam, sayap dibuka sedikit bagi menstabilkan penerbangan. Aerodinamik. Ya ini istilah yang tepat. 

Selain aku, beberapa ekor gagak lain juga meluncur di sini. Aneh sungguh kelakuan ini. Tetapi keseronokan ini tak pernah kutemui ketika menjadi manusia. Hari ini, aku benar-benar bebas.

Bamm! Bamm!

Oh Tuhan. Keseronokanku terbantut. Kepak kubuka seperti sayap Boeing, menambah rintangan angin. Biar perlahan dan lancar mendarat. 

Di depanku, ada dua ekor gagak dihentam cermin bas hop on hop off. Bertaburan bulu di udara. Darah memercik di jernih kaca. Riuh jeritan kanak-kanak berambut perang dan ibunya. Jeritan "oh my gosh!” kedengaran. 

Nasib baik bukan aku. Aku lupa akan kewujudan bas hop on hop off yang selalu memuatkan pelancong asing dalam perutnya di sekitar Kuala Lumpur. 

Mengapa dua ekor gagak itu tidak mengelak? Mereka lebih berpengalaman bukan? Jangan-jangan mereka juga seperti aku. Baru hari pertama menjadi gagak.  Kadang-kadang ketika menikmati kegembiraan, kesedihan sentiasa mengintai dan menanti peluang untuk menyerang. Maut juga tidak terkecuali. 

Matahari menebar jingga di dada kota raya yang masih berpura-pura. Aku harus pulang ke rumah pangsa awam Jalan Klang Lama. Sekali lagi semut-semut bermata merah menekan pedal minyak, berlumba-lumba sampai ke rumah dan memecat seragam buruh yang lunyai seharian di pejabat. Beluncas elektrik masih bertatih di atas landasan syarikat pengangkutan kereta api milik kerajaan. 

Asap tebal meletus dari cerobong sebuah kilang. Deretan blok pemprosesan tayar kenderaan ini telah wujud semenjak zaman kolonial. Keuntungan tidak mengalir ke bumi ini. Sebaliknya diangkut terbang ke bilik kebal negara mereka. Dasar penjajah.

Asap-asap inilah bukti kekejaman kapitalis. Kenapa aku berani kata begitu, sebab semasa aku manusia, aku pernah menjalankan audit kualiti alam sekitar di kilang ini. Tahap pencemaran asap melebihi tahap yang dibenarkan. Tetapi laporan pengawasan yang aku buat telah diubah oleh wanita tua itu. Katanya perlu jaga nama baik pelanggan. Alangkah marahnya aku. Malangnya, aku tidak mampu lakukan apa-apa. Sama saja seperti gagak. Arkkk… Arkkk… Arkkk…

Kepalaku mula pening apabila asap tebal ini menyelinap ke rongga pernafasan. Seperti memiliki tangan aku cuba menutup lubang hidung dengan sayapku tetapi luncuran pulangku terumbang-ambing. Asap ini betul-betul menyesakkan dada. Berat. Tajam mencucuk paru-paru. 

Sepuluh minit juga aku terpaksa bertarung dalam udara kelabu. Pencemaran ini tak kenal makhluk. Sebelum ini kufikir hanya manusia yang terkesan. Tapi hari ini aku benar-benar sedar. Gagak, kucing, tikus, sama saja. Mangsa. 

Aku tiba akhirnya di lubang di celah atap rumah pangsa dan inilah banglo mewah gagak. Tidak lagi bersarang di pokok akasia setelah deretan pokok itu menjadi mangsa tebang oleh pihak berkuasa. Katanya mengganggu manusia. Entahlah. 

Seekor gagak betina sedang bersolek di dada cermin. Paruhnya berkilat ditambah gincu merah menyala seperti biji saga. Bulunya yang hitam disapu bedak supaya ada haruman mawar di ruang intim ini.  

Dadaku berombak. Bidang. Aku melangkah seperti jantan yang angkuh. Wanita selalunya suka lelaki begini. Bad boy katanya. Oh ya, ini aktiviti terakhir hari ini. 

“You…” Suara garauku merekah di paruh. 

Leher jinjang gagak betina itu menoleh ke arahku. Wajahnya menggoda. 

“Lewat pulang?”  Padat soalannya.

“Aku mahu keluar. Ada parti di rumah datin seri,” sambung gagak betina.

Luluh hatiku yang baru sebentar tadi dipenuhi berahi. 

“Aik? Malam ini nak keluar? Duduk rumah dan teman I lah,” aku memujuk

Gagak betina itu tiba-tiba berubah wajah. Bulu-bulu di tengkuk berdiri tegak. Matanya bulat. Merah. Keningnya terangkat sebelah. 

Ahhh... Aku kenal dengan rupa ini. Sama seperti tunangku. Betul-betul menyampah dibuatnya. Kufikir kalau menyarung bulu gagak, tiada lagi pasangan berperangai lady boss. Malangnya spesies gagak ini pun sama. Tiada beza. Bukan sahaja gagal mengawan, sekucup kasih pun tak hinggap di pipiku. 

Selepas gagak betina menggalas beg tangan berkulit buaya. Dia melebarkan sayapnya dan meluncur keluar. Katanya ke banglo di sekitar Bukit Tunku.

Ruang ini tiba-tiba suram. Entah kenapa bulan yang kembang di taman langit, tiba-tiba mati dibunuh awan. Bungkam. 

Aku bersandar di sofa empuk merah jambu. Perabot buatan tempatan mungkin. Di dinding tergantung cermin empat segi memuatkan seluruh tubuhku dalam bingkainya.

Betulkah aku menjadi gagak? Kenapa dunia ini sama seperti dunia manusia? Kadangkala lebih kejam. Tekanan lebih dirasai di dada ini. Baru sehari. Tetapi dahsyatnya seperti seluruh jiwaku semasa menyarung kulit manusia. 

Tidak boleh jadi. Aku harus pulang. Kembali ke dunia manusia. Dunia nyata. Bukan lari dari kenyataan. Tapi ini bukan dunia aku. Bukan. 

Perjanjian? Persetankan. 

Subuh mengetuk jendela. Aku terjaga. Cepat-cepat aku meraba tubuhku sendiri. Kaki, tangan, punggung, dada dan muka berubah seperti manusia kembali. Cuma tekak masih perit.

Darah tiga titik itu tidak mengkhianatiku. Tidak jadi apa-apa. 

“Hahahaha.” Ketawa bergendang di kerongkong. 

Mungkin perjanjian main-main. Ayuh ke pejabat berjumpa dengan manusia lain. 

Sejak tiba di pejabat. Musykil hinggap di fikiran. Kenapa bos tiba-tiba berpatah balik menjauhiku? Tangannya menekup mulut. Dia berlari menuju ke tandas. Nasib baik dia tidak dekati aku. Tapi bau manusia memang telah berubah. Benar-benar hanyir di deria hiduku. Macam bangkai.

Di kafetaria, aku mengeluarkan makanan yang kubawa dari rumah. Stik separuh masak. Darah-darah mengalir perlahan dari urat daging. Benar-benar menyelerakan. Tunangku terus bangkit dan muntah di tepi meja. Dia juga lari. Pelik. Entah apa mereka fikir. Bagiku ini semua normal. Inilah dinamakan kehidupan. 

Kategoriseni budaya

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.