Yang Datang, Yang Menghilang

12 Sep 2026, 12:30 AM
Yang Datang, Yang Menghilang

Oleh Adam Taufiq Suharto 

Ilustrasi Muizzah 

Saya tenggelam dalam merakam. Lensa menangkap lanskap Pantai Remis dengan pokok beralun dan ombak membadai. Terjelma imej-imej semirip filem-filem Apichatpong, sesekali terkenang Persona daripada Bergman. Segala-galanya dirakam selagi lensa membenarkan. Dari imej bangkai ikan hinggalah imej orang pungut kupang-kerang. Semuanya indah lagikan estetik. Barangkali semua manusia patut diajar tentang fotografi, filem atau seni untuk bertatih melihat sisi-sisi dunia dari kanta keindahan. 

“Hoi! Apa engkau buat dekat sana tu?”

Seseorang yang saya kenal, menyergah saya. Itu rakan sekerja saya. Rakan niaga video orang kahwin. Ketika sedang keasyikan merakam alam, saya teralpa daripada tugas selaku perakam video perkahwinan separa profesional.  

“Aku rasa, ada baiknya engkau kurangkan menonton filem. Kau jadi banyak berkhayal.” 

Nasihat rakan saya sambil mengambil syot ‘cantik tapi malas’ itu, tak pernah saya hiraukan. Tangannya terus merakam syot-syot ‘cantik’ untuk pasangan mempelai yang sedari tadi kepanasan dan berpeluhan. Tapi, demi memori sekali seumur hidup, apalah sangat bertanjak, bersanggul di bawah terik mentari 90 darjah, bukan? Juga, apalah sangat membayar ribuan ringgit untuk rakaman memori indah ini? Apa-apa pun kerana mereka inilah, saya boleh makan dan teruskan hidup. Bukankah revolusi bermula dengan perjuangan di meja makan? 

Syot terakhir saya dibikin ketika lewat ‘waktu emas’ atau kata orang putih, golden hour mulai terberanak. Tentulah yang menggoda anak mata saya bukanlah syot ‘cantik’ rakan saya dalam paparan kamera, tetapi langit jingga yang sebenar-benarnya. Beberapa kali juga fokus saya hilang di kala melakukan kerja sebagai perakam kedua. 

Usai rakan sekerja pulang, mempelai pun berkejaran di kaki langit menuju malam pertama, saya berseorangan berasmara dengan alam. Rakan kerja sempat mengingatkan agar saya tak lama di pantai. Katanya pada malam hari dia mahu menyalin semua  rakaman saya. Dia juga mengingatkan saya bahawa kami ada tarikh yang perlu dikejarkan untuk video-video perkahwinan yang lain.  Kahwin, kahwin, kahwin. Apa yang dikahwinkan pun saya tidak tahu. Sekadar terinspirasi daripada dialog Latifah Omar dalam Chinta, Kaseh, Sayang. 

Saya kembali kepada alam. Cuba menyatu dengannya melalui lensa. Merakam deras ombak. Meraikan seruling bayu. Kamera Fujifilm XT-5 saya masih tak lekang di tangan. Saya mula rasa, saya ialah Emmanuel Lubezki, atau Roger Deakins atau Christopher Doyle atau pengarah-pengarah sinematografi yang sama tingkatnya. Langit menjingga dalam keunguan yang pekat. 

Dalam deru angin, saya terlihat sebuah bot usang menghala ke tepian. Si lelaki yang berdiri di bahagian hadapan bot tampak sangat berjaga-jaga. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan seolah-olah membawa beban dosa dan salah laku. Saya mula syak sesuatu. 

Saya sorok tubuh keding saya di sebalik pokok sambil cuba-cuba merakam perlakuan lelaki itu. Siapa agaknya dia? Apa yang ada di dalam bot itu? Apa yang dia bawa? Apa rancangannya? Apa yang akan keluar dari bot itu? Apa? Kenapa? Bagaimana? Siapa? Bila? Semuanya terjawab apabila bot tersebut menghampiri pesisir. Lelaki itu membuka kain besar yang menutup sebahagian bot. 

Jantung berdegup kencang.

Saya kaget apabila melihat gerombolan manusia lari bertempiaran ke satu arah, ke sebuah lori besar yang membawa khinzir di dalam sangkar. Mujur lensa telefoto yang saya bawa dapat menangkap subjek walau kejauhan. Terpacul sebuah nikmat menerusi lensa kamera yang tidak pernah saya perolehi sebelum ini. Momen yang benar, nyata, realistik!

Saya rakam satu per satu langkah mereka. Ini akan menjadi rakaman mahal jika saya berjaya menangkapnya dengan sempurna. Lidah saya menyentuh bibir. Kamera, saya tetapkan dalam mod fokus auto. Skrin paparan, saya kepakkan ke posisi dongak. Mata saya tajam menangkap kaki-kaki berlari. Saya syak semuanya bukan orang Malaysia berdasarkan raut wajah dan kulit gelap. Barangkali mereka… pelarian? Dalam keasyikan itu, saya tidak sedar saya tersadung pada akar yang menjalar. Saya jatuh, tersembam dan secara spontan... mengerang!

“Arghhhhh!”

Jeritan itu membuatkan lelaki yang berdiri di hadapan bot tadi memandang ke arah saya. Saya bangun, lari selaju mungkin, sekuat hati. Saya sempat menjelingnya, dan lebih ngeri, dia ambil sebilah parang dari dalam bot! Saya terus berlari. Mujur tubuh kurus memudahkan pecutan. Lelaki tersebut menjerit-jerit memaki. Sambil memecut, saya fikir mungkin jika saya lepaskan sahaja kamera ini, dia akan lepaskan saya. Bukti hanya ada pada kamera. Tetapi tidak, saya rasa dia akan tetap menyerang kerana mata saya adalah saksi. Jadi, daripada saya hilang kamera dan biji mata saya, lebih baik saya terus berlari dan selamatkan saja kesemuanya. 

Seseorang pantas menarik saya masuk ke semak samun. Mulut saya terus ditekup olehnya. Peluh terus mengalir. Saya intai keluar dari celah-celah semak samun, saya lihat lelaki tadi tercari-cari saya. Dia kemudiannya berputus asa, mencarut dan berpatah balik. 

Dapatlah saya menghembuskan nafas lega. Jantung saya berdegup kencang, lebih kencang daripada ucapan para politikus pada malam pilihan raya. Saya pandang orang yang menarik saya tadi, dari kaki yang hanya berselipar buruk, kotor diselaputi tanah hitam, naik ke wajah gelap seperti sekian lama dibakar sinar panas. Dia seorang wanita, dengan kulit sawo matang. Tidak, mungkin lebih gelap. 

“Terima kasih.”

Ucapan saya itu, tidak dibalas apa-apa. Mungkin dia bukan orang sini, atau mungkin dia sebahagian daripada pendatang dalam bot tadi? Saya ulang semula perkataan, ‘terima kasih’ dalam bahasa Inggeris. Dia anggukkan kepala. Mungkin dia memaksudkan: ‘sama-sama.’ Masih dalam bahasa Inggeris, saya tanyakan kepada dia, dia siapa? Datang dari mana? 

Dia tak menjawab. Dia keluarkan sehelai surat khabar dari beg kecilnya dan tunjuk kepada saya. Tajuk berita utama pada surat khabar tersebut tertulis dalam bahasa Inggeris: “Pelarian Rohingya terus jadi mangsa pemerdagangan manusia.” Dengan ini, tepatlah tekaan saya bahawa mereka yang lari dari bot tadi adalah pendatang asing untuk diperdagangkan. Cuma yang luar daripada tekaan saya adalah, mereka semua pelarian Rohingya! 

“Rabiah...”

Katanya sambil menunjuk ke arah dirinya sendiri. Jadi dia saya gelar, Rabiah. 

Bunyi lori khinzir kedengaran pergi meninggalkan kawasan. Saya intai semula ke luar semak dan keadaan sudah selamat. Saya buka flanel yang saya pakai supaya lelaki tadi tak mengenal saya kalau-kalau dia masih berada di sini. Saya dan Rabiah keluar dari semak dan berjalan laju menuju ke tempat yang ada ramai orang.

“Saya akan bawa awak ke balai polis,”

Dia menggelengkan kepala dan menunjukkan isyarat tak mahu kepada polis. Saya tak tunjukkan reaksi apa-apa, kerana kaki kami masih berentak laju. Tiba sahaja di kawasan orang ramai, saya katakan lagi kepada Rabiah bahawa macam mana sekalipun saya tetap akan pergi ke balai polis. Saya perlu laporkan kerja-kerja haram tadi. 

Dia masih menunjukkan reaksi supaya jangan melibatkan polis. Saya hembus nafas panjang sambil duduk di atas bongkah-bongkah batu. Saya lihat semula rakaman video yang saya ambil tadi. Ia lebih daripada sekadar video spekulasi. Nombor pendaftaran bot dan nombor pendaftaran lori khinzir terlihat jelas. Saya senyum. Situasi ini mengingatkan saya kepada tiga buah filem yang baru sahaja saya tonton, Blow Up arahan Antonioni, The Conversation arahan Francis Ford Coppola dan Blow Out arahan De Palma. Ketiga-tiganya mengisahkan individu yang tak sengaja merakam jenayah. 

Namun, saya tak mahu gagal seperti protagonis dalam filem-filem itu. Saya tunjukkan gambar-gambar tadi kepada Rabiah. Saya katakan kepadanya bahawa jika saya berjaya melaporkan kepada polis, bukan sahaja dia terselamat, tetapi dalang kejahatan tadi juga akan tertangkap. Saya beri dia kamera saya untuk dia lihat video-video tadi. 

Sementara dia melihat gambar-gambar itu, saya ke sebuah gerai berdekatan untuk membeli minuman. Tekak saya kekeringan. Jantung saya masih laju berdegupan. 

“Okey ke, bang? Macam baru habis 4 kali 100.” 

Seloroh penjual air itu saya balas hanya dengan sengih.

Baru sahaja ingin menghulurkan wang kepada peniaga, saya dapati Rabiah sudah tidak berada di tempat kami duduk tadi. Dan lebih malang, dia hilang bersama-sama kamera saya!

Saya meluru mencari. Penjual minuman tadi memanggil saya, tetapi saya tak endahkannya. Saya bertanya kepada orang sekeliling jika terlihat Rabiah, semuanya tidak tahu, tidak perasan, tidak pasti, tidak, tidak, tidak, tidak! Ketidakpastian itu semua membuatkan saya segera berlari ke tepian pantai, berlari dan mencari, berlari dan mencari, berlari... dan… tak tercari...

Saya berhenti di tempat saya melihat gerombolan pelarian keluar dari bot tadi. Bot tidak ada. Kesan tapak kaki pun sudah hilang. Saya terduduk. Segala-gala yang saya dapatkan tadi hilang sekelip mata! Saya gagal… Sama gagal dan culas seperti protagonis dalam Blow Up, The Conversation dan Blow Out. Saya hentak tangan pada pasir. Jingga langit makin menghilang. Pasir berdesir ditiup angin. Matahari mula bersembunyi. 

Telefon saya berbunyi. Saya keluarkan telefon dari poket seluar dan jawab panggilan. 

“Helo. Ini aku nak tanya, agak-agak jam berapa engkau balik rumah? Sebab aku nak salin semua footage yang engkau rakam tadi.”

Panggilan daripada rakan saya yang merakam video perkahwinan bersama-sama saya itu mengingatkan bahawa, saya bukan sahaja telah kehilangan bukti kukuh tentang pemerdagangan manusia, saya bahkan bakal hilang reputasi dan nama baik sebagai perakam video perkahwinan separa profesional. Kamera dan Rabiah, tolonglah kembali! 

Tiba-tiba, saya teringatkan semak tempat saya dan Rabiah berlindung. Terus, langkah seribu saya ke arah semak tadi. Dari satu rimbun ke satu rimbun saya periksa dan akhirnya, saya terlihat kamera saya terletak elok di atas tanah. 

Saya tenung kamera. Perlahan-lahan saya ambil dan hidupkan. Kad memorinya masih ada! Syukur! Saya buka semula video-video yang saya rakam. Satu per satu video diperhatikan. Dahi mula berkerut… Semuanya hanya video dengan syot-syot ‘cantik’ pasangan mempelai! Rakaman kegiatan pendatang haram tadi pula lesap.

Dunia dalam keadaan vakum. Sunyi. Saya termenung, padam kamera. Apakah saya memang hanya dilahirkan untuk cari makan, tidur dan kemudian mati? Apakah saya tidak berpeluang menjadi sesuatu di luar dari bingkai seorang saya? Apakah kebenaran bukan untuk saya?

Saya berjalan ke tepian pantai, kevakuman, kekosongan, keheningan. Warna senja yang jingga kian menghilang, mirip segala rakaman yang saya kerjakan, mirip Rabiah. Dia datang lalu menghilang. Atau mungkin, dia tidak pernah datang jua tidak pernah menghilang. 


Kategoriseni budaya

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.