Kebakaran Pasar Borong Selangor: Apa yang berlaku dan langkah seterusnya

24 Jul 2026, 1:00 PM
Kebakaran Pasar Borong Selangor: Apa yang berlaku dan langkah seterusnya
Kebakaran Pasar Borong Selangor: Apa yang berlaku dan langkah seterusnya
Kebakaran Pasar Borong Selangor: Apa yang berlaku dan langkah seterusnya
Kebakaran Pasar Borong Selangor: Apa yang berlaku dan langkah seterusnya

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kebakaran yang memusnahkan sebuah premis di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan pada malam Khamis mencetuskan operasi pemadaman berskala besar selama hampir lapan jam.

Selain operasi pemadaman yang mencabar, tumpuan kini beralih kepada siasatan forensik bagi mengenal pasti punca kebakaran serta perancangan pembangunan semula pasar borong berkenaan yang telah dirancang Kerajaan Negeri sebelum insiden berlaku.

Berikut perkara yang diketahui setakat ini.

Bagaimana kebakaran berlaku?

Kebakaran dilaporkan berlaku kira-kira 10.50 malam pada 23 Julai, melibatkan sebuah premis menjual barangan logam dan perkakasan di Pasar Borong Selangor.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada 11.04 malam, sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.

Api merebak dengan pantas dan beberapa letupan turut berlaku, dipercayai berpunca daripada silinder gas metana yang disimpan di dalam premis.

Kebakaran berjaya dikawal sekitar 1.20 pagi, manakala operasi pemadaman dan kerja-kerja overhaul ditamatkan sepenuhnya pada 6.20 pagi.

Anggota bomba memadamkan kebakaran premis di Pasar Borong Selangor dalam kejadian pada 23 Julai 2026. Foto JBPM Selangor

Mengapa operasi pemadaman mengambil masa?

Operasi membabitkan 68 anggota bomba daripada 19 balai bomba, dibantu 67 anggota bomba sukarela.

Menurut JBPM, operasi menjadi lebih rumit kerana terdapat kira-kira 2,000 silinder gas metana di dalam premis yang terbakar, sekali gus meningkatkan risiko letupan ketika kerja pemadaman dijalankan.

Pada masa sama, lima pili bomba persendirian di kawasan pasar borong didapati tidak berfungsi, menyebabkan anggota bomba terpaksa mendapatkan bekalan air daripada sumber lain bagi memastikan operasi dapat diteruskan.

Walaupun berdepan cabaran tersebut, api berjaya dikawal sebelum operasi diteruskan bagi memastikan tiada bara api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Premis yang terbakar milik siapa?

Berdasarkan maklumat awal Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), premis yang terbakar itu disewakan kepada pihak ketiga.

Premis itu digunakan untuk menjalankan perniagaan menjual pelbagai jenis barangan termasuk perkakasan logam, plastik dan barangan keperluan lain.

PKPS turut memaklumkan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan dan menentukan tindakan susulan terhadap premis yang terjejas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar bercakap kepada media selepas operasi memadam kebakaran Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan pada 24 Julai 2026. Foto UFAIRAH TARMIDZI / MEDIA SELANGOR

Adakah terdapat mangsa?

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Bagi memastikan tiada individu terperangkap di bawah runtuhan, JBPM menjalankan pemeriksaan menyeluruh di kawasan premis yang terbakar selepas api berjaya dipadamkan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata kerja pemeriksaan serta punggahan sisa kebakaran selesai dijalankan dan mengesahkan tiada mangsa ditemukan di bawah timbunan runtuhan.

Kebakaran bagaimanapun memusnahkan kira-kira 90 peratus premis berkenaan.

Bilakah punca kebakaran akan diketahui?

Punca kebakaran masih belum dapat dipastikan dan siasatan forensik sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Bagi membantu siasatan, dua anjing pengesan JBPM, Rusty dan Sam, digerakkan ke Pasar Borong Selangor pada Jumaat (24 Julai).

Kedua-dua anjing terlatih daripada baka Cocker Spaniel dan Springer Spaniel itu tiba dengan kenderaan khas kira-kira 3.30 petang Jumaat, lengkap memakai but keselamatan bagi melindungi tapak kaki ketika menjalankan pencarian di kawasan runtuhan.

Dua anjing pengesan JBPM, Rusty dan Sam, membantu siasatan forensik di kawasan runtuhan Pasar Borong Selangor bagi mengenal pasti punca kebakaran. Foto BERNAMA

Sebelum itu, sebuah jengkaut dibawa masuk kira-kira 12 tengah hari bagi mengalihkan timbunan runtuhan dan sisa kebakaran untuk membolehkan pemeriksaan dilakukan dengan lebih teliti.

Menurut Ashrul Riezal, lokasi kejadian kini selamat untuk diperiksa dan proses siasatan forensik dijangka mengambil masa kira-kira 14 hari sebelum punca kebakaran dapat dikenal pasti.

Apa langkah seterusnya?

Projek pembangunan semula Pasar Borong Selangor dijangka bermula awal tahun depan selepas isu berkaitan kontraktor yang dilantik sebelum ini diselesaikan.

EXCO Infrastruktur, Dato' Ir Izham Hashim berkata proses reka bentuk serta pelaksanaan projek kini berada pada peringkat akhir sebelum kerja pembinaan dimulakan.

Beliau menjelaskan pembangunan semula pasar borong yang diuruskan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu telah dirancang sejak beberapa tahun lalu dan bukan disebabkan kebakaran yang berlaku, sebaliknya sebahagian daripada perancangan Kerajaan Negeri.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang, Abbas Azmi, berpandangan insiden kebakaran itu mengukuhkan lagi keperluan untuk mempercepatkan pembangunan semula pasar borong berkenaan.

Katanya, pasar borong yang mula beroperasi sejak 2001 itu wajar dinaik taraf kepada kompleks yang lebih moden, selamat dan tersusun bagi memenuhi keperluan peniaga serta pengguna, selain mengurangkan risiko kejadian seumpama itu pada masa hadapan.

EXCO Infrastruktur, Dato' Ir Izham Hashim (dua dari kanan) mendengar taklimat daripada pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika meninjau lokasi kebakaran di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, pada Jumaat.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.