Bangunkan semula Pasar Borong Selangor, lebih moden dan selamat

24 Jul 2026, 4:38 AM
Bangunkan semula Pasar Borong Selangor, lebih moden dan selamat
Bangunkan semula Pasar Borong Selangor, lebih moden dan selamat
Bangunkan semula Pasar Borong Selangor, lebih moden dan selamat

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kerajaan Negeri disaran mempertimbangkan pembangunan semula Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan susulan kebakaran besar yang memusnahkan sebahagian premis di kawasan itu malam tadi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang, Abbas Azmi berkata pasar borong yang mula beroperasi sejak 2001 itu wajar dinaik taraf agar lebih moden, selamat dan memenuhi keperluan semasa selaras dengan pembangunan pesat di kawasan sekitarnya.

Beliau berkata Pasar Borong Selangor antara pusat bekalan makanan utama yang menampung keperluan penduduk di Seri Kembangan, Kinrara, Subang serta kawasan berhampiran.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang Abbas Azmi bercakap kepada media ketika melakukan tinjauan harga barang dan bekalan makanan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan pada 8 April 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

"Saya mencadangkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Kerajaan Negeri mempertimbangkan pembangunan semula kawasan ini supaya lebih moden, selamat dan sesuai dengan pembangunan pesat di sekelilingnya," katanya.

Abbas turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bertindak pantas mengawal kebakaran selepas menerima laporan kejadian.

Mengulas punca kebakaran, beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada unit forensik JBPM.

"Setiap kejadian ada puncanya. Kita serahkan kepada pihak bomba untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengeluarkan laporan rasmi. Jangan timbulkan pelbagai persepsi sebelum siasatan selesai," katanya.

Berdasarkan maklumat awal PKPS, premis yang terbakar disewakan kepada pihak ketiga dan menempatkan beberapa perniagaan termasuk menjual barangan plastik serta perkakasan.

Beliau berkata bahan mudah terbakar dipercayai menyebabkan api merebak dengan pantas, namun perkara itu masih tertakluk kepada hasil siasatan pihak bomba.

Dalam pada itu, Abbas menggesa PKPS memberi tumpuan kepada usaha membangunkan semula kawasan berkenaan sebaik siasatan selesai, selain memastikan tapak kebakaran dikawal rapi bagi mengelakkan individu tidak berkaitan memasuki kawasan itu.

Katanya, pembangunan semula bukan sahaja dapat meningkatkan kemudahan dan infrastruktur pasar borong, malah memperkukuh aspek keselamatan serta pengurusan kawasan pada masa depan, termasuk menangani isu kehadiran pendatang asing tanpa izin yang sering dibangkitkan penduduk setempat

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.