SERDANG, 24 JULAI: Siasatan forensik bagi mengenal pasti punca kebakaran besar di Pasar Borong Selangor dijangka mengambil masa kira-kira 14 hari selepas kawasan kejadian disahkan selamat untuk dimasuki.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata ketika ini bangunan berkenaan masih berada di bawah kawalan bahagian operasi dan belum diserahkan kepada pasukan forensik kerana kerja pemeriksaan serta penilaian keselamatan masih dijalankan.
"Bangunan berkenaan masih berada di bawah kawalan bahagian operasi dan belum diserahkan kepada pasukan forensik kerana kerja-kerja pemeriksaan serta penilaian keselamatan di lokasi kejadian masih dijalankan.
"Siasatan hanya akan dimulakan selepas kawasan kejadian disahkan selamat untuk dimasuki pasukan forensik," katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi memadam kebakaran Pasar Borong Selangor, hari ini.
Ashrul Riezal berkata pihaknya juga belum dapat mengesahkan sama ada kebakaran itu melibatkan mangsa kerana pemeriksaan menyeluruh hanya boleh dilakukan selepas kerja mengalihkan runtuhan selesai.
Katanya, pasukan bomba perlu memeriksa keseluruhan kawasan kejadian bagi memastikan tiada mangsa terperangkap di bawah timbunan runtuhan sebelum sebarang pengesahan dibuat.
Semalam, kebakaran besar yang berlaku kira-kira jam 10.50 malam dipercayai bermula di sebuah kedai menjual barangan logam sebelum merebak ke premis lain termasuk kedai bantal dan tilam.
Operasi pemadaman membabitkan 68 anggota JBPM dari 15 balai bomba di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan bantuan 11 pasukan bomba sukarela serta Polis Diraja Malaysia (PDRM)







