Kepala air berulang, lubuk dalam sukarkan operasi SAR Sungai Pertak

12 Nov 2026, 11:11 AM
Kepala air berulang, lubuk dalam sukarkan operasi SAR Sungai Pertak

HULU SELANGOR, 12 NOV: Fenomena kepala air berulang susulan hujan lebat petang semalam menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa yang masih hilang di kawasan Tapak Berkelah Sungai Pertak, Kuala Kubu Baharu dekat sini, yang memasuki hari keempat, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan M. Manimaran berkata selain faktor cuaca tidak menentu, keberadaan beberapa lubuk berkedalaman tinggi di sepanjang Sungai Luit turut memberikan cabaran besar kepada pasukan penyelamat.

Beliau berkata operasi hari ini melibatkan kira-kira 108 pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Sebanyak empat bot digunakan dalam operasi hari ini, selain bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Gerakan Udara PDRM yang menggunakan dron bagi memperluas pemantauan dari udara," katanya pada sidang media tentang perkembangan operasi SAR di sini, hari ini.

Berhubung penemuan mangsa keenam, Manimaran berkata mayat lelaki itu ditemukan terapung kira-kira 10.30 pagi tadi di kawasan muara sungai berhampiran Jambatan Pertak, kira-kira 1.3 kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat serta pengecaman identiti.

Anggota JBPM menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dihanyutkan arus deras di kawasan Sungai Pertak, Kuala Kubu Baharu. Foto BERNAMA

Beliau berkata satu lagi mayat warga tempatan telah diserahkan kepada waris untuk urusan persemadian hari ini, manakala lima lagi mayat belum diserahkan kerana proses bedah siasat dan pengecaman identiti sementara dua lagi mangsa masih hilang.

Sementara itu, Ketua JBPM Zon Rawang Mustakim Rimon berkata operasi hari ini turut mengaplikasikan teknik sniff and dive yang dilaksanakan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bersama-sama anjing pengesan K9 di atas bot penyelamat.

Mengenai pencarian di satu kawasan di Sektor A selepas menerima maklumat seorang penduduk Orang Asli yang terhidu bau dipercayai daripada mayat ketika melalui lokasi itu, beliau berkata pencarian di situ tidak menemukan sebarang petunjuk baharu.

Beliau berkata operasi pencarian dibahagikan kepada empat sektor, iaitu Sektor A hingga D, meliputi kawasan Lata Jebus hingga sekitar Jambatan Pertak dan Empangan Sungai Selangor dengan pencarian seterusnya difokuskan di Sektor C.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang Isnin lepas, lapan lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan tujuh warga asing dari Yaman, Sri Lanka, Nepal serta India dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.