SHAH ALAM, 24 JULAI: Projek pembangunan semula Pasar Borong Selangor dijangka bermula awal tahun depan selepas isu berkaitan kontraktor yang dilantik sebelum ini diselesaikan.
EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata proses reka bentuk serta pelaksanaan projek kini berada pada peringkat akhir sebelum kerja pembinaan dimulakan, lapor Berita Harian.
Beliau menjelaskan perancangan membangunkan semula pasar borong yang diuruskan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu telah dirancang sejak beberapa tahun lalu dan bukan disebabkan kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
“Projek ini sebenarnya sudah dirancang agak lama, namun sebelum ini timbul sedikit isu dengan kontraktor yang dilantik.
“Kita sedang memuktamadkan reka bentuk dan pelaksanaannya. Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar, kita mulakan pembinaan pada awal tahun depan,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran di Serdang, hari ini.
Menurut Izham, pembangunan semula itu membabitkan keseluruhan kawasan Pasar Borong Selangor dengan reka bentuk baharu yang memberi penekanan terhadap aspek keselamatan dan keselesaan.
Katanya, antara kemudahan yang akan disediakan ialah pili bomba, sistem penyembur air automatik serta ruang letak kenderaan yang lebih mencukupi.
“Kita mahu bangunkan sebuah pasar moden yang lebih selesa, selamat dan mempunyai kemudahan letak kenderaan mencukupi.
“Aspek keselamatan akan diberi perhatian, termasuk penyediaan pili bomba dan sistem penyembur air sebagai antara elemen penting dalam pembangunan semula ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Izham berkata operasi Pasar Borong Selangor tidak terjejas walaupun kebakaran memusnahkan tiga premis.
Beliau berkata kejadian itu hanya membabitkan sebuah kedai menjual perkakasan katering dan barangan dapur, sebuah kedai menjual telur serta sebuah kedai perkakasan, manakala premis lain terus beroperasi seperti biasa.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata kawasan yang terjejas akan dibersihkan terlebih dahulu sebelum tindakan susulan diambil terhadap tiga premis terbabit.
Katanya, Kerajaan Negeri menyasarkan semua urusan berkaitan tapak itu dapat diselesaikan sebelum akhir tahun bagi membolehkan projek pembangunan semula dimulakan mengikut perancangan.









