Belanjawan 2027: Reformasi cukai perlu diperluas, perkukuh hasil negara - Amirudin

21 Okt 2026, 7:02 AM
Belanjawan 2027: Reformasi cukai perlu diperluas, perkukuh hasil negara - Amirudin

SHAH ALAM, 21 OKT: Reformasi sistem percukaian perlu diperluas bagi meningkatkan hasil negara dan memastikan kerajaan mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk membiayai pembangunan serta menyalurkan bantuan kepada rakyat secara mampan.

Ahli Parlimen Gombak berkata keperluan itu semakin penting apabila hasil kerajaan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan menurun daripada 22.3 peratus pada 2009 kepada 16.4 peratus pada 2027.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, meskipun pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan perdagangan menunjukkan perkembangan positif, pencapaian itu perlu diterjemahkan kepada peningkatan hasil kerajaan bagi menjamin kelestarian fiskal.

Beliau menambah, sebahagian besar perbelanjaan mengurus kerajaan diperuntukkan bagi memenuhi komitmen seperti subsidi, gaji, bayaran khidmat hutang dan pencen, sekali gus mengehadkan ruang untuk membiayai program baharu serta melaksanakan transformasi dasar.

“Komponen yang saya masukkan tadi termasuk subsidi, gaji, bayaran khidmat hutang, bayaran persaraan merangkumi 76.9 daripada perbelanjaan mengurus kerajaan. Maksudnya, setiap kali pegawai-pegawai Kementerian Kewangan memulakan proses perancangan belanjawan, bagi setiap RM100 hasil daripada kerajaan persekutuan bermakna hampir RM80 perlu disediakan untuk komitmen gaji, upahan, hutang dan subsidi.

“Ini bermaksud perancangan dasar pengurusan negara hanya mempunyai 20 peratus ruangan untuk membentuk sebarang program perubahan ataupun transformasi yang ingin dicadangkan bagi sesebuah perubahan yang ingin dilaksanakan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada langkah sedia ada mencukupi untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dapat meningkatkan hasil kerajaan dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Apakah semakan yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dan nilai ekonomi dapat benar-benar mencipta nilai dengan izin supaya ekonomi bertambah maju, hasil kerajaan dapat membantu, rakyat turut dapat berkembang,” katanya.

Amirudin turut menegaskan keperluan menilai sistem percukaian secara menyeluruh susulan perbincangan mengenai kemungkinan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atau menyusun semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Ada pandangan untuk kita kembali kepada GST, ada pandangan untuk kita menyusun balik subsidi ataupun SST dan sebagainya.

“Namun, perbincangan mengenai percukaian perlu mengambil kira keseluruhan keperluan hasil negara dan bukannya tertumpu kepada satu bentuk cukai sahaja.

“Konteks percukaian yang lebih luas harus dipertimbangkan dan harus difikirkan di samping mempertimbangkan hasil daripada negara yang wajar dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata usaha memperkukuh hasil negara penting bagi memastikan kerajaan dapat meneruskan pembangunan dan menyalurkan subsidi kepada rakyat secara mampan.

“Ini adalah satu persoalan fiskal yang serius yang harus difikirkan untuk menjamin apa yang dikatakan kelestarian hasil kepada negara dan itu akan dikembalikan dalam bentuk pembangunan mahupun dalam bentuk subsidi kepada rakyat,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 mengumumkan had pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000 dan kadar cukai individu dikurangkan.

Selain itu, pelepasan cukai diperluas meliputi rawatan perubatan, pendidikan, sukan, gaya hidup, serta langganan kecerdasan buatan (AI) dan penjagaan haiwan peliharaan angkat.

Kadar cukai individu berpendapatan melebihi RM1 juta diselaraskan kepada 30 peratus, manakala lima juta pembayar cukai dijangka menerima lebihan pendapatan boleh guna sehinga RM1,600.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.