SHAH ALAM, 21 OKT: Malaysia perlu mengadaptasi kecerdasan buatan (AI) secara berhati-hati dengan mengutamakan etika, keselamatan dan kedaulatan negara bagi mengelakkan teknologi itu mengancam kemanusiaan.
Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Malaysia rancak meneroka teknologi itu sejak tiga hingga empat tahun lalu, termasuk menarik syarikat teknologi global seperti Google dan Nvidia untuk mengembangkan keupayaan AI dalam negara.
“Saya melihat perkembangan yang begitu rancak tentang AI dalam negara kita.
“Namun perkembangan itu bagaimanapun perlu disertai penelitian terhadap risiko penggunaan AI, terutama apabila teknologi berkenaan semakin berpengaruh dalam kehidupan masyarakat dan proses pembentukan pandangan awam,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Amirudin berkata kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Anthropic, Dario Amodei yang menggesa supaya rentak pembangunan AI diperlahankan wajar diberi perhatian dalam menilai cabaran teknologi itu.
“Namun, baru-baru ini, sebagaimana soalan yang saya kongsi bersama dengan seorang rakan dalam sesi di Dewan Rakyat minggu lepas berkenaan dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Anthropic, Dario Amodei, yang menyatakan agar syarikat yang melibatkan AI ini harus memperlahankan rentak,” katanya.
Beliau berkata kebimbangan terhadap AI turut melibatkan kemungkinan teknologi itu digunakan untuk mempengaruhi pemikiran, emosi dan tindakan manusia menerusi manipulasi maklumat serta penguasaan algoritma oleh syarikat teknologi besar.
“Saya menyemak satu makalah yang diterbitkan di tahun 2025 yang menyebut tentang kemungkinan AI boleh menjadi satu yang dibangun sebagai technofascism,” katanya.
Jelas beliau, perkembangan itu menimbulkan persoalan lebih besar mengenai kuasa teknologi terhadap masyarakat, termasuk kemungkinan manipulasi naratif politik dan penyebaran maklumat yang boleh mempengaruhi kestabilan negara.
“Namun isunya adalah isu kedaulatan. Kebimbangan itu perlu diberi perhatian sebelum penggunaan AI diperluas secara pantas dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Inilah nilai yang harus kita nilai dan kalau kita tengok, kerana technofascism ini merupakan satu kebimbangan besar yang bukan hanya mengganggu kepada kemanusiaan, pasaran, nilaian dan juga cara hidup, tetapi kepada kedaulatan kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan membangunkan kerangka etika yang jelas bagi memastikan penggunaan AI tidak menjejaskan kepentingan masyarakat dan negara.
“Kita kena membentuk etika ketika berdepan dengan AI sebelum kita bersungguh-sungguh dan kita dengan pantasnya untuk adaptasi ataupun menggunakan AI dalam kehidupan kita,” katanya.
Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor ketika membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) berkata Selangor terus mempercepatkan transformasi digital dalam pentadbiran negeri menerusi penerapan AI dan pengukuhan sistem perkongsian data antara jabatan serta agensi kerajaan.
Menurutnya, penerapan dan pemecutan penggunaan AI akan dilaksanakan menerusi program Teraju AI dan Pusat Inkubasi AI Selangor di bawah Selangor International Innovation Centre of Excellence (SLIICE) yang dikendalikan oleh Selangor Technical Development Corporation (STDC).
Program berkenaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan produk AI untuk agensi kerajaan, pensijilan profesional AI bagi tenaga kerja serta penyediaan platform inkubator bagi membangunkan ekosistem AI Selangor secara menyeluruh.







