Ambulans percuma: Fasa pertama fokus kes bukan kecemasan, libat tiga daerah

20 Nov 2025, 10:09 AM
Ambulans percuma: Fasa pertama fokus kes bukan kecemasan, libat tiga daerah
Ambulans percuma: Fasa pertama fokus kes bukan kecemasan, libat tiga daerah

SHAH ALAM, 20 NOV: Perkhidmatan ambulans percuma Kita Selangor menawarkan perkhidmatan menghantar pesakit kes bukan kecemasan ke hospital, termasuk yang bersempadan dengan Selangor.

EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin berkata fasa pertama perkhidmatan itu meliputi tiga daerah iaitu Petaling, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

“Ambulans Kita Selangor hanya mengendalikan kes bukan kecemasan pada fasa pertama. Kita bersedia mempertimbangkan pengembangan skop perkhidmatan, tetapi prestasi awal dan kedudukan kewangan negeri perlu diambil kira.

“Walaupun diselia hospital dalam Selangor, ambulans ini turut boleh menghantar pesakit ke hospital bersempadan seperti Teluk Intan dan Slim River. Perkhidmatan ini khusus untuk rakyat Selangor sahaja,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pemilihan tiga daerah ini mengambil kira kepelbagaian demografi iaitu bandar, pinggir bandar dan luar bandar.

Sebelum ini, Dato' Menteri Besar melancarkan perkhidmatan ambulans percuma Kita Selangor yang bakal memberi manfaat kepada penduduk di 26 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) meliputi daerah Petaling, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, kawasan Klang menjadi lokasi utama pelaksanaan dengan penyediaan 26 ambulans, termasuk satu ambulans neonatal dan dua ambulans bariatrik bagi pesakit obesiti.

Dalam perkembangan lain, Jamaliah berkata Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan untuk melaksanakan program Selangor Saring dua kali setahun di setiap DUN, berbanding sekali setahun sekarang.

“Saringan ini meliputi pemeriksaan fizikal dan kanser. Cadangan ini baik, tetapi fokus utama adalah memastikan lebih ramai rakyat hadir. Pelaksanaan dua kali setahun mungkin diadakan di DUN yang mendapat sambutan tinggi,” tambahnya.