Karnival Agensi Islam Selangor catat hampir RM2 juta jualan, lebih 25,000 pengunjung hadir

12 Jul 2026, 12:00 PM
Karnival Agensi Islam Selangor catat hampir RM2 juta jualan, lebih 25,000 pengunjung hadir
Karnival Agensi Islam Selangor catat hampir RM2 juta jualan, lebih 25,000 pengunjung hadir
Karnival Agensi Islam Selangor catat hampir RM2 juta jualan, lebih 25,000 pengunjung hadir
Karnival Agensi Islam Selangor catat hampir RM2 juta jualan, lebih 25,000 pengunjung hadir

KUALA LANGAT, 12 JULAI: Karnival Agensi Islam Selangor 2026 (KAI.Sel26) mencatat transaksi hampir RM2 juta selain menarik kehadiran lebih 25,000 pengunjung sepanjang penganjurannya di tiga zon di negeri ini.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, pencapaian itu membuktikan sambutan menggalakkan masyarakat terhadap program yang menggabungkan pengisian keagamaan dan Jelajah Pengurusan Halal Selangor.

"Tiga siri program itu diadakan di Rawang, Puncak Alam dan Banting dengan penglibatan kira-kira 100 usahawan tempatan.

"Setakat ini jumlah pengunjung yang hadir di ketiga-tiga siri melebihi 25,000 orang, manakala jualan keseluruhan ruai mencatat hampir RM2 juta.

"Nilai itu agak besar kerana terdapat juga gerai yang menjual produk bernilai tinggi seperti hartanah pada siri pertama," katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutupan KAI.Sel26 dan Jelajah Pengurusan Halal Selangor Siri Ketiga di Masjid Jamek As Solihin, Kanchong Darat, di sini, hari ini.

EXCO Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah menyampaikan ucapan pada Majlis Penutupan Karnival Agensi Islam Selangor 2026 (KAI.Sel26) di Masjid Jamek As Solihin, Kanchong Darat, Kuala Langat, pada 12 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menurut Mohammad Fahmi, sambutan masyarakat, khususnya golongan belia amat menggalakkan apabila pengunjung hadir secara berterusan sepanjang tiga siri penganjuran.

"Saya rasa penerimaan masyarakat sangat baik kerana tidak putus-putus orang datang sepanjang penganjuran program ini.

"Ramai juga peniaga dan penjaja yang menyertai KAI.Sel26 meminta supaya program ini diteruskan kerana mereka melihat karnival ini memberi manfaat kepada perniagaan mereka," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Kerajaan Negeri bercadang memperluaskan penganjuran KAI.Sel26 ke setiap daerah di Selangor mulai tahun depan bagi membolehkan lebih ramai penduduk menikmati manfaat program berkenaan.

"Kalau ada lebihan bajet atau penjimatan, kita akan pertimbangkan untuk melaksanakan satu lagi siri sebelum hujung tahun ini.

"Namun perancangan kita pada tahun depan ialah mengadakan satu karnival di setiap daerah supaya manfaatnya dapat dinikmati lebih dekat oleh masyarakat setempat," katanya.

Mohammad Fahmi turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi agama negeri yang berganding bahu menjayakan tiga siri KAI.Sel26.

"Saya melihat kerjasama yang sangat baik dalam kalangan semua agensi agama termasuk Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan pejabat saya di Setiausaha Hal Ehwal Agama Islam sehingga kita berjaya melaksanakan program ini hampir setiap hujung minggu secara berturut-turut.

"Komitmen yang diberikan sangat baik dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua agensi serta pegawai yang terlibat menjayakan program ini," ujarnya.

Pengunjung melawat reruai pameran ketika Karnival Agensi Islam Selangor 2026 (KAI.Sel26) di Masjid Jamek As Solihin, Kanchong Darat, Kuala Langat pada 12 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata sambutan menggalakkan itu membuktikan KAI.Sel26 bukan sahaja berjaya mengimarahkan masjid, malah menjadi platform mendekatkan golongan muda dengan institusi berkenaan.

"Kita sengaja mengadakan program berhampiran masjid kerana sasaran utama ialah mereka yang sering hadir ke masjid. Pada masa sama, kita tarik golongan muda melalui ruai makanan dan pengisian yang sesuai dengan cita rasa mereka.

"Ini memberi ruang untuk mendekatkan anak-anak muda dengan institusi masjid sebagai pusat perpaduan dan penyatuan umat Islam di Selangor. Kesan ini pada awalnya tidak kita jangkakan, namun ternyata ia berjaya dicapai," katanya.

Selain menghimpunkan 12 jabatan dan agensi Islam negeri, KAI.Sel26 turut menampilkan Jelajah Pengurusan Halal menerusi program Ziarah Halal ke premis makanan hasil kerjasama Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Halal International Selangor (HIS Toyyiba) bagi mempromosikan Pensijilan Halal Malaysia.

Pengunjung turut mengikut pelbagai pengisian seperti Forum Perdana Hal Ehwal Islam, podcast santai, perkongsian mengenai hak wanita, kekeluargaan Islam, pendidikan dan kerjaya serta Jualan Rahmah MADANI.

Karnival itu turut dimeriahkan dengan Fun Run dan Zikir Walk yang menghimpunkan hampir 2,000 peserta, selain Malam Kesenian Islam yang menampilkan Ustaz 3 Beradik dan kumpulan nasyid legenda Qathrunnada.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.