Garis panduan dakwah pelancongan Masjid Negeri tunggu kelulusan

22 Nov 2026, 10:00 AM
Garis panduan dakwah pelancongan Masjid Negeri tunggu kelulusan
Garis panduan dakwah pelancongan Masjid Negeri tunggu kelulusan

SHAH ALAM, 22 NOV: Garis panduan dakwah pelancongan Islam yang disediakan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kini dalam proses semakan dan kelulusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Imam Besarnya, Dato' Muhammad Farhan Wijaya berkata garis panduan itu bertujuan memastikan aktiviti pelancongan mematuhi tatacara masjid, selain memperkukuh pendekatan dakwah kepada pengunjung.

“Kita (pihak masjid) sudah menyediakan satu garis panduan dakwah pelancongan Islam bagi memastikan program yang dijalankan mematuhi tatacara masjid.

“Ianya masih dalam semakan dan kelulusan dari pihak MAIS dan JAIS,” katanya ketika berucap pada program Mosque Tourism Insights 2026 di sini, semalam.

Dalam pada itu, Muhammad Farhan berkata Masjid Negeri menerima 103,721 pelawat antarabangsa dari 114 negara merentasi lima benua sepanjang 2025.

“Daripada jumlah itu, pelawat dari Jepun mencatatkan angka tertinggi iaitu 49,140 orang diikuti negara China dengan 31,506 orang, manakala 23,075 pelawat dari negara lain,” katanya.

Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Dato’ Muhammad Farhan Wijaya berucap pada program Mosque Tourism Insights 2026 di Shah Alam pada 21 November 2026.

Selain itu, masjid berkenaan turut memperkenalkan Mosque Night Tour sebagai produk pelancongan yang menawarkan pengalaman meneroka keindahan masjid pada waktu malam.

Perkhidmatan lawatan berpandu itu dikendalikan oleh Masjid Negeri Selangor Guide (MNSG) yang memberikan penerangan mengenai sejarah dan keunikan seni bina masjid kepada pengunjung.

“Perkhidmatan pemandu pelancong kita juga mempunyai kemahiran berbahasa asing termasuk bahasa Jepun dan Mandarin,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pembangunan Galeri Masjid yang kini hampir 50 peratus siap dijangka dibuka kepada pengunjung pada Februari 2027.

Galeri berkenaan bakal menempatkan koleksi khazanah dan bahan sejarah Masjid Negeri bagi membolehkan pengunjung mengenali warisan masjid itu dengan lebih dekat.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.