EXCO: Selangor mula projek rintis guru KAFA mengajar dua sesi pada 2027

24 Nov 2026, 1:00 AM
EXCO: Selangor mula projek rintis guru KAFA mengajar dua sesi pada 2027
EXCO: Selangor mula projek rintis guru KAFA mengajar dua sesi pada 2027

SHAH ALAM, 24 NOV: Kerajaan Negeri akan melaksanakan projek rintis membolehkan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) mengajar dua sesi di sekolah sama mulai awal tahun depan.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata pelaksanaan awal membabitkan satu atau dua sekolah bagi menilai kesannya terhadap pendapatan guru serta keperluan tenaga pengajar.

“Kertas cadangan sudah disiapkan. Tahun depan kita akan mulakan,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, kaedah itu membolehkan seorang guru mengendalikan sesi pagi dan petang berbanding sistem semasa yang menggunakan dua guru berbeza di sekolah sama.

“Cadangannya, seorang guru mengajar tiga jam pada sesi pagi dan tiga jam pada sesi petang, menjadikan keseluruhannya enam jam sehari,” ujarnya.

Mohammad Fahmi berkata pendekatan berkenaan berpotensi meningkatkan pendapatan guru, sekali gus menggalakkan mereka terus berkhidmat serta menarik lebih ramai tenaga pengajar berkualiti.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Bagaimanapun katanya, kadar bayaran bagi guru yang mengajar dua sesi masih diperhalusi dengan mengambil kira pertambahan waktu mengajar dan tanggungjawab mereka.

Beliau menjelaskan projek rintis itu turut bertujuan mendapatkan maklum balas guru serta menilai kesannya terhadap kebajikan, semangat dan mutu pengajaran.

Dalam pada itu, Mohammad Fahmi memberi jaminan lebihan guru susulan pelaksanaan kaedah berkenaan akan ditempatkan semula di sekolah yang kekurangan tenaga pengajar, bukannya diberhentikan.

“Kita tempatkan semula sahaja. Tak adalah kita kata nak potong,” jelasnya.

Katanya, guru yang mahu kekal mengajar satu sesi juga boleh ditempatkan di sekolah lain yang memerlukan tenaga pengajar.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri meneliti model seorang guru mengendalikan sesi pagi dan petang di sekolah agama bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), dengan menggabungkan peruntukan dua tenaga pengajar bagi menawarkan pendapatan melebihi RM3,000 sebulan.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.