SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri sedang meneliti cadangan penyelarasan slip gaji guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) supaya bayaran bulanan dinyatakan sebagai 'elaun tetap' bagi memudahkan urusan permohonan pembiayaan perbankan.
EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata keputusan mengenai penyelarasan itu mungkin dibuat dalam masa terdekat susulan permohonan guru KAFA yang berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman kerana bayaran mereka dikategorikan sebagai elaun.
“Salah satunya lagi yang mereka mohon adalah slip gaji itu tadi. Sekarang ini dikira elaun,” katanya kepada Media Selangor.
Menurutnya, perkara itu antara tuntutan dibangkitkan guru KAFA menerusi beberapa siri libat urus sejak awal tahun ini.
Beliau berkata penyelarasan itu bertujuan memperjelas status bayaran bulanan guru KAFA sebagai pendapatan tetap.
Mengulas kenaikan elaun yang diumumkan menerusi Belanjawan Selangor 2027, Mohammad Fahmi berkata peruntukan bagi pelaksanaannya sudah disediakan dengan mengambil kira dasar gaji minimum sebagai asas pertimbangan.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga bersedia mempertimbangkan kenaikan selanjutnya jika berlaku perubahan dasar di peringkat Persekutuan.

“Kalau perlu kita naik, kita akan naikkan dan kalau perlu ada peruntukan tambahan, kita akan minta belanja tambahan,” katanya.
Mohammad Fahmi berharap kenaikan elaun itu dapat meringankan beban guru KAFA, selain menarik minat lebih ramai golongan muda menceburi bidang perguruan berkenaan.
“Dengan elaun yang naik ini, kita juga berharap agar kualiti pendidikan fardu ain dan al-Quran yang asas ini terus kita kekalkan ataupun tambah baik,” ujarnya.
Dalam aspek kebajikan, beliau berkata guru KAFA Selangor turut menikmati kemudahan cuti bersalin bergaji.

“Contohnya, guru KAFA Selangor ada cuti bersalin bergaji. Apabila bersalin, gaji tetap berjalan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan sebarang penambahbaikan pendapatan dan faedah guru perlu diteliti secara seimbang dengan mengambil kira tempoh mengajar serta perbezaan pengurusan guru di bawah Kerajaan Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan kenaikan elaun bulanan guru KAFA daripada RM1,500 kepada RM1,700 mulai Januari 2027 menerusi Belanjawan Selangor 2027.
Kenaikan itu membabitkan peruntukan tambahan RM14 juta yang memberi manfaat kepada 7,245 guru KAFA lantikan Kerajaan Negeri serta JAKIM.







