CMCF: Henti sebar identiti kanak-kanak kes tikam di Banting

8 Jul 2026, 8:00 AM
CMCF: Henti sebar identiti kanak-kanak kes tikam di Banting

SHAH ALAM, 8 Julai: Kandungan yang mendedahkan identiti kanak-kanak terlibat dalam insiden tikam di sebuah sekolah menengah di Banting tidak sepatutnya disebarkan di media sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) berkata, pihaknya memandang serius penyebaran kandungan sedemikian kerana identiti kanak-kanak dilindungi undang-undang, walaupun ada pihak mendakwa ia dikongsi atas alasan penyampaian berita.

Menurut Mediha Mahmood, meskipun media arus perdana secara umumnya melaporkan insiden itu dengan berhati-hati, bahan yang mendedahkan identiti serta maklumat sensitif kanak-kanak masih tersebar di media sosial, aplikasi pemesejan dan halaman dalam talian tidak sahih.

"Gambar, nama dan maklumat peribadi kanak-kanak dikaitkan dengan kes tular tidak sepatutnya dikongsi, disebar atau dijadikan bahan spekulasi.

"Setiap perkongsian boleh meninggalkan kesan yang panjang, termasuk tekanan awam, gangguan emosi dan kesan digital terhadap kanak-kanak serta keluarga mereka," katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menyeru platform media sosial, penerbit dalam talian dan semua pengguna supaya menurunkan kandungan yang mendedahkan identiti atau maklumat peribadi kanak-kanak serta menghentikan penyebarannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) Mediha Mahmood. Foto Facebook CMCF

Mediha berkata melindungi identiti kanak-kanak bukan bermaksud mengecilkan keseriusan sesuatu insiden, sebaliknya mengelakkan tragedi itu daripada mengakibatkan kemudaratan baharu kepada mereka yang terlibat.

"Walau serius mana pun dakwaan yang dibuat, identiti kanak-kanak tetap dilindungi undang-undang.

"Malah dalam kes lebih berat, kita perlu berhati-hati kerana kemarahan awam tidak boleh dibiarkan menjadi hukuman digital yang kekal terhadap mereka," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadi sebahagian daripada penyebaran kandungan yang boleh menjejaskan kesejahteraan kanak-kanak.

"Jangan cari. Jangan sebar. Jangan kongsi semula,” katanya.

Terdahulu, negara digemparkan dengan insiden tikam di sebuah sekolah menengah di Banting yang membabitkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga.

Susulan kejadian itu, pelbagai maklumat mengenai individu yang dikaitkan dengan kes berkenaan tular di media sosial, termasuk dakwaan bahawa suspek merupakan orang kurang upaya (OKU) autisme.

Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.