SHAH ALAM, 8 Julai: Insiden tikam membabitkan seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Banting, kelmarin perlu dijadikan titik perubahan untuk memperkukuh aspek keselamatan di semua institusi pendidikan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata usaha itu memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan (KPM), ibu bapa, warga pendidik dan komuniti setempat.
“Semua pihak termasuk ibu bapa, warga pendidik dan komuniti setempat perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan rapi serta mencari punca akar umbi insiden tersebut.
“PIBGN juga mencadangkan dapatan siasatan rapi dan hukuman kepada pesalah diumumkan secara meluas sebagai iktibar kepada pelajar dan semua pihak," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga cedera ditikam di sebuah sekolah menengah di Banting, kelmarin.
Dalam pada itu, Mohamad Ali mencadangkan KPM memperketat aspek keselamatan di sekolah termasuk melaksanakan pemeriksaan mengejut terhadap beg pelajar secara rambang.

Beliau berkata pihak berkuasa juga boleh mengadakan rondaan berkala di sekolah bagi membantu mengenal pasti tanda awal pelajar yang bermasalah, termasuk mereka yang tidak berdisiplin atau mengalami kemurungan akibat kes buli.
Selain itu, katanya, pihak sekolah perlu memperkasa peranan semua guru sebagai guru disiplin dan tidak hanya meletakkan tanggungjawab itu kepada guru tertentu.
Beliau turut mengesyorkan semua pelajar perlu digalakkan menyertai aktiviti di luar bilik darjah seperti kokurikulum.
“Pihak sekolah juga perlu pastikan nisbah kaunselor dan pelajar adalah benar-benar munasabah, serta memastikan PIBG dan alumni sekolah berperanan lebih aktif bagi membantu kemajuan sekolah,” katanya.
Terdahulu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga cedera selepas ditikam di sebuah sekolah menengah di Banting.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada paru-paru serta kira-kira 16 kesan tikaman pada beberapa bahagian badan sebelum dikejarkan ke Hospital Banting untuk menerima rawatan lanjut.
Seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.








