SHAH ALAM, 7 Julai: Bapa kepada pelajar yang cedera dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di sini semalam mengesahkan nama anak perempuannya tersenarai dalam dokumen yang didakwa mengandungi sasaran suspek dan kini tular di media sosial.
Mohd Firuz Ibrahim, 43, bagaimanapun berkata beliau tidak dapat mengesahkan kesahihan dokumen berkenaan dan menyerahkan perkara itu kepada polis untuk disiasat.
"Nampaknya nama anak saya ada dalam senarai itu di nombor 10," katanya ringkas seperti dilapor BH.
Beliau turut memaklumkan masih tidak pasti sama ada dokumen berkenaan ditulis sendiri oleh suspek, diperoleh daripada pihak lain atau direka-reka.
Menurutnya, beliau juga sudah memberikan keterangan kepada polis bagi membantu siasatan.
Semalam, Mohd Firuz dilaporkan berkata anak perempuannya mengenali suspek berusia 15 tahun itu kerana pernah belajar dalam kelas yang sama pada tahun lalu, namun menafikan mangsa menjadi sasaran dalam serangan berkenaan.
Mengulas dakwaan yang mengaitkan kejadian itu dengan perbuatan buli, beliau menegaskan anaknya bukan seorang pembuli dan jarang keluar rumah tanpa ditemani ibu atau bapanya.
"Keluarga kami tidak mengenali keluarga suspek dan setakat ini masih belum ada sebarang hubungan atau pertemuan antara kedua-dua keluarga.
"Namun, kami terbuka untuk mengadakan pertemuan sekiranya cadangan sedemikian dikemukakan," katanya.
Setakat ini, polis belum mengesahkan kesahihan foto yang memaparkan beberapa dokumen, termasuk senarai nama yang didakwa mengandungi sasaran suspek dan tular selepas kejadian itu.







