EXCO: Unit HEM perlu peka keperluan murid OKU autisme, perkukuh keselamatan sekolah

7 Jul 2026, 1:00 PM
EXCO: Unit HEM perlu peka keperluan murid OKU autisme, perkukuh keselamatan sekolah
EXCO: Unit HEM perlu peka keperluan murid OKU autisme, perkukuh keselamatan sekolah
EXCO: Unit HEM perlu peka keperluan murid OKU autisme, perkukuh keselamatan sekolah

SHAH ALAM, 7 JULAI: Susulan pengesahan suspek kes tikam di sebuah sekolah menengah di Banting sebagai individu berstatus orang kurang upaya (OKU) autisme, Unit Hal Ehwal Murid (HEM) di sekolah disaran supaya lebih peka terhadap murid berkeperluan khas.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata perhatian terhadap murid OKU perlu melangkaui aspek pencapaian akademik dengan memberi penekanan kepada kesejahteraan emosi, intervensi awal dan keselamatan mereka di persekitaran sekolah.

"Yang terkini memang terbukti anak guam (kes tikam pelajar di Banting) tersebut ialah OKU autisme. Disebabkan kes ini masih dalam siasatan polis, kita perlu menunggu hasil siasatan dan meminta polis menjalankan siasatan mengikut prosedur tatacara yang ditetapkan bagi suspek bawah umur.

"Pada masa sama, Hal Ehwal Murid perlu sentiasa peka terhadap keperluan murid OKU supaya mereka mendapat perhatian dan sokongan sewajarnya di sekolah," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Beliau berkata usaha meningkatkan kesedaran mengenai keperluan murid OKU perlu diperkukuh bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih inklusif dan selamat.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

"Pada saya penting pihak sekolah mengambil tahu tentang keperluan OKU kerana kita tahu dalam kalangan pelajar tipikal ada yang tidak memahami keperluan berbeza murid OKU. Akibatnya mungkin berlaku ejekan, usikan atau layanan yang tidak sepatutnya.

"Yang penting ialah kita membina sikap empati, memahami keperluan yang berbeza serta memupuk budaya saling menghormati. Pihak sekolah perlu meneruskan taklimat dan usaha pendidikan supaya semua warga sekolah dapat menerima serta menghormati antara satu sama lain," ujarnya.

Anfaal turut menggesa pihak sekolah memperkukuh kawalan keselamatan, termasuk memastikan tiada senjata dibawa masuk ke kawasan sekolah, selain memperhebat usaha pencegahan buli menerusi kerjasama sekolah, ibu bapa dan komuniti.

Terdahulu, gambar kad OKU kategori autisme yang didakwa milik suspek dalam kes tikam membabitkan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Banting tular di media sosial.

Identiti remaja perempuan berusia 15 tahun itu kemudian disahkan peguamnya, S Vijeswari Devi, sebagai individu berstatus OKU autisme.

Remaja terbabit kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.