Peguam sahkan suspek kes tikam pelajar di Banting autistik

7 Jul 2026, 2:33 AM
Peguam sahkan suspek kes tikam pelajar di Banting autistik

SHAH ALAM, 7 JULAI: Peguam mewakili remaja perempuan berusia 15 tahun yang disyaki menikam rakannya di sebuah sekolah menengah di Banting mengesahkan anak guamnya ialah individu autistik.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S Vijeswari Devi berkata demikian selepas prosiding permohonan reman terhadap remaja terbabit di Mahkamah Majistret Telok Datok, di Kuala Langat hari ini.

Beliau berkata, anak guamnya direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

"Anak guam saya adalah autistik. Reman empat hari. Itu sahaja saya boleh katakan," katanya ringkas seperti dilapor Kosmo.

Terdahulu, tular di media sosial gambar kad orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan autisme yang didakwa milik suspek.

Pengesahan Vijeswari sekali gus menjawab spekulasi mengenai status remaja berkenaan yang tersebar di media sosial sejak insiden itu mendapat perhatian umum.

Remaja terbabit ditahan selepas menikam seorang pelajar perempuan sebanyak 16 kali dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Banting, semalam.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.