SHAH ALAM, 6 JULAI: Suspek wanita yang dipercayai menikam seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Banting, Kuala Langat, pagi tadi telah ditahan pihak polis.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor memaklumkan pelajar perempuan yang cedera pula sedang diberikan rawatan di Hospital Banting.
“JPN Selangor ingin memaklumkan satu insiden tikam telah berlaku di sebuah sekolah di Banting hari ini.
“JPN Selangor memberi kerjasama penuh terhadap proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa,” menurut JPN dalam kenyataan hari ini.
JPN Selangor memaklumkan tumpuan utama pada ketika ini adalah untuk memastikan murid yang tercedera mendapat rawatan terbaik dan bantuan diberi kepada keluarga.
Selain itu, pasukan kaunselor serta guru bimbingan dan kaunseling telah digerakkan untuk melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah tersebut.
Justeru orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi mengesahkan seorang pelajar perempuan cedera selepas dipercayai ditikam oleh seorang wanita di sebuah sekolah di Banting pagi tadi.
Sebelum itu, tular di media sosial video memaparkan kekecohan di sebuah sekolah apabila seorang wanita berpakaian serba hitam sedang memegang sebilah pisau dan berlegar dalam kawasan sekolah berkenaan.







